Bab 1 ~ Kak long tunggu Abang Akim, ya?

“KENAPA Mak Ton datang, mak?” soal Qisya sebaik sahaja turun dari motosikal yang dibonceng. Matanya terus memandang lenggang Mak Ton yang bertubuh rendang itu dengan anak daranya, Fazura. Jalan macam tidak cukup tanah menuju ke kereta Audi A7 yang terparkir di simpang masuk ke rumahnya.

Adiknya, Afif yang sedang menongkat motor juga ikut memandang. Helmet dibuka lalu membetulkan rambutnya yang sudah penyek.

Puan Jannah mengeluh. Kemudian sambung menyapu daun-daun kering di laman.

“Mak, Mak Ton datang rumah buat apa?” soal Qisya sekali lagi.

“Takkan kak long tak tahu. Mak Ton tu kan dah kemaruk sangat nak jadikan kak long menantu,” sampuk Taufik sebelum Puan Jannah membuka mulut. Adik bongsu Qisya itu tersengih sambil tangannya masih menabur dedak untuk ayam-ayam yang mereka ternak.

Qisya mengerut dahi. Pelik. Apa lagi kali ini? Takkan khabar yang sama? Kalau dah tahu orang tak mahu, takkan mahu desak juga?! Hatinya menggumam sendiri. Geram dengan orang yang tidak faham bahasa.

“Mak Ton datang bertanya kak long lagi?” soal Afif sedikit terkejut.

Puan Jannah mengangguk.

“Tak faham bahasa betul orang tua tu. Si Zarif pun sama. Masuk ni dah tiga kali,” gerutu Afif sambil duduk di pangkin bawah pokok jambu yang rendang berbuah.

Kalau lamaran dia yang ditolak, jangankan tiga kali, sekali pun dah rasa muka tebal berkepuk-kepuk. Tidak tahu macam mana nak berdepan dengan orang kampung.

Agaknya, sudah lama dia menyorok di Gunung Ledang. Bertapa di sana sampai tujuh keturunan.

“Kempunanlah Mak Ton. Abang Zarif pulak gigit jari agaknya,” seloroh Taufik sambil ketawa mengekek.

“Habis… mak cakap apa?” soal Qisya dalam debar.

“Kalau kak long tak mahu, macam mana mak boleh setuju?” ujar Puan Jannah mendatar.

Zaura yang sejak tadi berdiri di ambang pintu menjeling tajam ke arah kakaknya. Mencebik.

Qisya mengucap syukur dalam hati. Nasib baik mak memang memahami. Tak ada lagi istilah kahwin paksa.

“Kak long memang… suka tolak rezeki. Kalau keluarga kita berbesan dengan Mak Ton, kita boleh tumpang senang.”

Siapa tak kenal Mak Ton? Tauke emas Kampung Tanjung Kuala. Dalam kampung ni dialah yang paling berharta. Ada beberapa cawangan kedai emas di pekan. Lima keturunan pun makan tak habis.

“Engkau sibuk sangat ni kenapa? Suka hati kak longlah nak terima atau tak. Kahwin bukannya sebab nak cari laki kaya,” bidas Afif pada Zaura. Amat tidak setuju dengan pendapat kurang matang adik perempuannya.

Itulah kebanyakan perempuan zaman sekarang. Harta sahaja yang dicari. Ada duit adik sayang, tak ada duit abang melayang.

Zaura tayang muncung. Protes!

“Mana boleh kahwin kalau hati tak cinta,” celah Taufik sambil tersengih-sengih. Baru tingkatan lima sudah pandai cakap soal hati dan perasaan. Cuba tanya soalan sejarah, mesti tergagap-gagap nak jawab.

“Amboi! Bukan main lagi.”

Apabila ditenung oleh kakaknya, Taufik terkulat-kulat. “Tersasul,” katanya lantas segera menghabiskan kerja dan masuk ke dalam rumah.

“Betullah alang cakap. Kalau kak long jadi isteri Abang Zarif kan boleh hidup senang…”

“Apa yang senangnya?” celah Afif sebelum Zaura sempat menghabiskan ayatnya lagi. Dia merenung macam nak telan orang.

“Mak Ton tu kan kaya. Lombong emas.”

“Harta dia orang tak ada kena-mengena dengan kita.”

“Kan senang bila jadi menantu Mak Ton. Tak payahlah susah-susah kak long nak kerja lagi. Duduk rumah goyang kaki pun tak mahu! Memang tolak rezeki namanya tu.”

“Lebih baik berdiri atas kaki sendiri daripada minta ihsan orang lain untuk hidup!” bangkang Afif.

“Setakat gaji kerani tu apalah sangat!” gumam Zaura perlahan sambil mencemuh. Geram kerana kakaknya tidak tahu mengambil peluang yang terbentang di depan mata.Malah, sikap kakaknya membuatkan dia sakit hati. Bodoh! Dia sebenarnya sudah terbayang mahu tumpang kesenangan Mak Ton kalau kakaknya jadi menantu keluarga itu.

Puan Jannah mengeluh, lalu duduk di sebelah Afif. “Sudahlah tu… kalau kak long tak mahu, Mak Ton datang sepuluh kali pun mak tetap jawab tidak. Biarlah kita tak berduit asal kita ada maruah,” ulasnya sekadar mahu menghentikan pertelingkahan anak-anaknya.

Qisya yang mahu masuk ke rumah berpatah balik. Dia duduk di sebelah ibunya sambil kepalanya disandar ke bahu Puan Jannah. Dia bersyukur kerana mak begitu memahami. Tiada paksaan dalam soal jodoh. Baginya, soal berumah tangga yang penting perlu ada persediaan. Bila sampai masanya nanti, dia tidak akan menolak jodoh yang datang.

Cuma sekarang dia masih belum bersedia. Tanggung-jawabnya kini berat kerana menjadi tunggak utama keluarga. Sebagai anak sulung, dia perlu memikul amanah yang arwah abah tinggalkan kepadanya.

Dengan tulang empat kerat yang dimiliki, dia sanggup bersusah payah mencari rezeki untuk mereka adik-beradik. Memang berat dan perit bila abah pergi secara tiba-tiba dijemput ILAHI. Namun, istilah berputus asa tidak pernah wujud dalam prinsip hidupnya.

Dengan gajinya sebagai kerani memanglah tak banyak. Tapi tetap cukup untuk mereka meneruskan hidup. Yang penting, kena pandai berjimat cermat. Rezeki ALLAH ada di mana-mana asalkan berusaha mencari. Biarlah pelajarannya sekerat jalan, asalkan adik-adik boleh habiskan pengajian. Kalau ada rezeki, esok lusa dia akan tetap genggam ijazah juga. Biarlah lambat asalkan cita-citanya tidak pernah padam.

“Kak long tunggu Abang Akim, ya?”

Soalan Taufik hanya dibalas keluhan panjang. Entah ada jodoh atau tidak antara mereka. Susah nak cakap. Dari dulu sampai sekarang masih juga tidak berubah. Balik-balik…

“Saya sayang awak. Awak sayang saya.”

Sejak sekolah menengah sehinggalah belajar di IPT, Akim masih mengikat janji atas angin. Atau lebih tepat setakat berjanji pakai air liur.

“Lawa sangat ke kak long? Ramai betul peminat!” Afif mengerut dahi. Wajah kakaknya direnung dengan mata terkelip-kelip.

“Hisy, apalah angah ni!”

“Betullah… tadi masa ambil kak long balik dari pejabat, si Malik tu masih tak serik-serik nak mengurat kak long.”

Puan Jannah kedengaran mendesah.

“Tak malu betul. Sanggup dia melangut tunggu kak long habis kerja. Gaya orang angau pun ada. Saling tak tumpah perangai lelaki gila talak. Angah tengok muka dia pun naik menyampah!”

“Budak tu kacau kak long lagi? Tak penat ke dia?” soal Puan Jannah sedikit bimbang.

“Bukannya budak, mak… tapi dah tua bangka. Bini dah dua tapi masih tak cukup-cukup lagi. Anak pun dah setengah dozen.”

“Astaghfirullahalazim…” Puan Jannah menggeleng-geleng. Resah pula hatinya. Bukan senang nak jaga anak dara. Selagi Qisya tidak bersuami, selagi itulah hatinya tidak akan tenang. Tambahan pula, Qisya memang selalu mendapat perhatian anak-anak muda. Tidak dapat dinafikan anak daranya itu memang ada rupa paras yang menarik yang diwaris daripada arwah suaminya.

“Gatal! Miang tak habis-habis!” Qisya geram mengingat-kan perangai lelaki bernama Malik itu. Semakin hari sikapnya kian menjadi-jadi. Setiap kali habis waktu pejabat, lelaki itu pasti akan menunggunya di luar pejabat.

Bukan sekali dua dia menolak. Sudah berkali-kali diberitahu hatinya sudah berpunya, tetapi Malik tu muka tembok!

“Nasib baik angah sampai tepat pada masanya. Sementara cuti ni bolehlah angah jemput. Esok kalau angah dah balik kampus macam mana?”

Qisya menjongket bahu.

“Hati-hati, kak long. Orang macam Malik tu jangan diberi muka. Semakin menjadi-jadilah dia.”

“Nanti pandai-pandailah kak long uruskan sendiri. Angah jangan risau.” Qisya sekadar mahu menyedapkan hati Afif, bahkan hatinya sendiri.

“Kamu dah solat?” soal Puan Jannah.

Qisya menggeleng.

“Angah pun belum…” tambah Afif.

“Pergilah…”

Qisya dan Afif bangun serentak.

“Alang nak ke kedai kejap ya, mak?” Sejak tadi Zaura berdiri di ambang pintu. Bila kakak dan abangnya masuk ke dalam rumah, lekas-lekas dia menyarung selipar dan meminta kebenaran emaknya.

“Kan dah petang ni. Kamu nak cari apa? Takut penyakit asma kamu tu datang balik pulak nanti. Kan susah…”

“Bukannya lama. Kejap aje.”

“Nak buat apa?” ulang Puan Jannah.

“Nak beli kertas. Nak siapkan assignment,” beritahu Zaura beralasan. Sedangkan akalnya sedang merancang sesuatu. Sesuatu yang cukup besar. Dia sudah nekad kali ini.

Puan Jannah hantar langkah Zaura dengan pandangan kosong. Ada sesuatu yang mengusik perasaannya. Rasa rindu pada arwah suaminya hadir dalam diam.

Bab 2 ~ Bagi saya awak cukup sempurna

SESUDAH membersihkan diri dan solat, Qisya ke dapur. Perutnya sudah berkeroncong. Dia menjengah ke dalam periuk. Masih banyak lagi nasi. Kemudian dia mengintai di bawah tudung saji. Kosong.

“Tadi mak masak gulai lemak pucuk ubi dengan sambal telur. Ikan pekasam pun ada,” beritahu Taufik.

Qisya hanya mampu menelan liur.

“Kak long dah makan?”

Qisya menggeleng. “Dah habis…” Perlahan suaranya. Terasa terkilan kerana tidak dapat menjamah sambal telur air tangan mak. Itulah makanan kesukaannya. Tapi sayang sudah habis pula. Tidak sempat hendak merasa. Kempunan. Namun, rasa ralat itu dibuang jauh-jauh. Tidak ada rezekinya barangkali. Tak apalah, esok-esok mak masak lagi.

Taufik mengangkat tudung saji. Cuma tinggal sisa dalam pinggan lauk. “Mesti alang habiskan. Petang tadi dah pesan, suruh simpan sikit untuk kak long. Degil betullah alang ni!” gerutunya geram.

“Tak apalah, Fik… kak long boleh buat nasi goreng. Nasi pun banyak dalam periuk. Boleh kita semua makan malam kejap lagi.”

Walaupun arwah abah tiada, dia masih bersyukur dengan rezeki yang dilimpahkan untuk mereka sekeluarga. Segalanya cukup meskipun tidak semewah dulu.

Jualan kuih mak di gerai Mak Cik Saodah pun banyak membantu. Lepas juga untuk belanja dapur. Duit gajinya pula dibelanjakan untuk keperluan diri dan adik-adik yang masih belajar.

Malam itu, rezeki mereka nasi goreng dengan ikan sepat goreng yang Pak Long Mahat sedekah petang semalam. Memang berselera makan bila perut tengah bergendang.

“Angah ingat nak kerja.”

Kata-kata Afif membuatkan Qisya berhenti menyuap. Dia memandang Afif. Kemudian beralih ke arah mak.

Zaura dan Taufik juga berhenti mengunyah, menyorot pandang ke wajah angah mereka.

“Kak long tak setuju.” Lambat-lambat Qisya berkata.

“Kenapa, angah?” soal Puan Jannah tenang.

“Angah kesian tengok kak long kerja sorang-sorang. Cari rezeki untuk kita sekeluarga…” Afif menguis nasi di pinggan. Seleranya agak terbantut. Kesusahan kakaknya membuatkan dia rasa bersalah. Kak long kerja penat-penat. Tapi duit tu mereka gunakan untuk wang saku dan beli buku. Sedangkan kak long hanya gunakan sedikit sahaja untuk diri sendiri. Kesian kak long…

“Kak long tak kisah pun. Itu tanggungjawab kak long pada keluarga.” Selagi ada daya dan kudrat, Qisya tidak akan sesekali merungut untuk mencari rezaki buat mereka.

“Tapi kalau angah kerja, sekurang-kurangnya ringan sikit beban kak long,” terang Afif mendatar. Dia cuma tawakal dan berharap sangat kakak dan ibunya setuju. Itupun setelah sudah puas berfikir dan menimbang masak-masak.

“Kak long tetap tak setuju. Angah kena teruskan pelajaran.” Jawapan Qisya tegas.

“Tapi keperluan kita kian bertambah. Alang ni… kalau sakit asma dia menyerang, nak kena pakai belanja. Tu pun sibuk jugak nak beli komputer dengan telefon bimbit segala bagai. Macamlah kita ni berduit.”

Zaura membalas sindiran abangnya dengan jelingan tajam. Kenapa hal dia pula yang diungkit? Angah yang gatal nak kerja! Angah yang teringin sangat nak pegang duit sendiri. Janganlah dikaitkan namanya pulak! Hatinya menggerutu geram.

“Sayang, angah… tak sampai setahun saja lagi. Biarlah kita susah sikit sekarang. Kak long nak tengok angah genggam ijazah dulu.”

“Tapi kak long…”

“Nanti bila angah habis belajar, boleh dapat kerja lebih baik. Gaji pun besar. Bukannya kerja macam kak long. Kalau kerja setakat sijil SPM dengan gaji kerani, berapalah sangat gajinya.”

“Yalah, angah… tak lama saja lagi. Sabarlah sikit. Biar kita rasa susah dulu sebelum mengecap kesenangan. Apa yang ada sekarang pun sudah cukup rahmat.” Puan Jannah pula menambah.

Afif diam. Setuju. Tapi dalam masa yang sama tetap jatuh simpati pada kakaknya. Sanggup berkorban demi keluarga. Patutnya, kak long yang genggam ijazah dulu. Tapi kak long sanggup berhenti bila abah sudah tiada.

“Sebab tulah kak long patut terima saja pinangan Mak Ton. Senang sikit hidup kita nanti. Mak Ton sendiri cakap kak long boleh letak berapa saja wang hantaran yang kak long nak.”

“Apa yang senang?” tekan Afif dengan suara tinggi.

“Sebab nak menumpang? Bolehlah alang beli komputer dengan telefon bimbit yang alang nak sangat tu, kan?” sindir Taufik.

Zaura mendengus geram dengan muncung tajam. Terasa gatal tapak tangannya. Kalau ikutkan hati, dah lama pipi Taufik berbirat kena penampar. Kecik-kecik dah celopar!

“Alang ni memang mengada-ngada. Tak malu betul!” cemuh Taufik lagi dengan pandangan meluat.

“Yang kau sibuk apa hal? Alang ada minta pendapat kau ke? Ada?!” marah Zaura lantang.

“Sudah, sudah… jangan nak bergaduh adik-beradik depan rezeki.” Suara Puan Jannah mendiamkan kekecohan anak-anaknya.

Masing-masing tunduk menghadap pinggan nasi semula. Topik hangat tadi berhenti di situ.

Sebaik semua pinggan mangkuk dan meja makan sudah berkemas, Qisya masuk ke bilik. Diambil novel Sayangku Merajuk yang dipinjam daripada Farida, teman sepejabatnya. Dia tersandar sambil menyelak helaian bertanda. Namun, fikirannya sedang berlegar ligat. Teringat pada lelaki bernama Zarif Arfan, satu-satunya anak bujang Mak Ton.

Bukannya sehari dua mereka kenal, tapi sejak zaman kanak-kanak lagi. Pernah jadi teman sepermainan. Cuma bila semakin besar dan belajar di sekolah menengah, hubungan mereka kian renggang. Bahkan, seakan musuh.

Lelaki bertubuh kurus kering itu sering menjadi perhatian kerana kenakalannya ketika di sekolah dulu. Berkali-kali nama Zarif Arfan tercatat dalam buku nota pengawasnya. Datang lambat, ponteng, rambut panjang… ada sahaja disiplin sekolah yang hendak dilanggar. Tetapi lelaki itu tidak pernah serik!

Jakun! Gelaran itu cukup sinonim dengan Zarif. Bencinya pada lelaki itu tidak pernah luak. Malah, kebencian itu kian membara kerana peristiwa yang berlaku kepada Najlah. Kisah yang mengaibkan teman baiknya itu cukup sedih untuk dikenang. Dia hanya mampu berdoa agar Najlah berjaya dan bahagia sekarang walau di mana sekalipun dia berada. Sementara Zarif pula terus begitu. Masih suka buat kerja gila. Kenapa dia sanggup datang meminang walaupun tahu dia tak suka?

Hatinya kini sudah terisi. Sejak dulu lagi perasaannya tak pernah berubah. Sukar untuk dia mengalihkan perasaan pada lelaki lain. Hanya lelaki bernama Hakim bin Haji Hamzah yang berjaya mengisi takhta hatinya. Malah, mereka pernah memahat janji untuk bersatu bila sampai saatnya nanti.

“Tunggu sampai saya habis belajar dan dapat kerja. Saya janji akan sunting Qisya jadi isteri.”

Janji itulah yang dipegang sampai saat ini. Sejak di tingkatan lima lagi mereka saling suka sama suka. Walaupun mereka terpisah jauh, hingga kini mereka saling berhubung. Akim sedang menghabiskan pengajiannya di peringkat master di University of Washington di USA.

Mereka pernah memasang impian untuk belajar bersama di luar negara, tetapi keadaan dan takdir telah memisahkan mereka. Namun, dia terima dengan redha.

“Siapalah saya, Akim. Tak setanding untuk berganding dengan awak.” Pernah dia meluahkan perasaan itu kerana terasa rendah diri.

“Itu semua tak penting. Saya tak kisah.”

“Awak jauh di sana. Banyak cabaran dan dugaannya. Mampu ke kita teruskan hubungan jarak jauh begini?”

“Awak tak yakin?” soal Akim.

“Bukan tak yakin… cuma ragu-ragu,” jawabnya spontan.

Tapi bila difikirkan kembali, tidak ada beza makna tidak yakin dengan ragu-ragu itu. Sebutan dan ejaannya sahaja yang berbeza.

“Itu maknanya awak tak percayakan saya,” tekan Akim.

“Boleh ke awak setia dengan budak kampung seperti saya? Tak ada yang istimewa.”

Akim gelak. “Bagi saya awak cukup sempurna.”

“Yalah tu…” Apa pilihan yang dia ada selain mempercayai lelaki itu sepenuh hati untuk melepaskan Akim pergi mengejar impiannya?

Sementara dia pula terus memasang cita-cita yang entah bila akan tertunai. Hakikatnya, dia bukan dilahirkan dalam keluarga berada seperti Akim, anak Penghulu Hamzah.

Abang dan kakaknya berjawatan besar dan mampu membantu Akim sekeluarga. Sedangkan dia hanya anak seorang guru.

Dia hanya mampu melihat Afif dan Zaura menamatkan pengajian mereka. Mungkin suatu hari nanti hasratnya itu akan disambung kembali. Insya-ALLAH…

Bab 3 ~ Bila tengah bercinta, semua sayang

MAK TON meletak telefon dengan nafas berat. Pening memikirkan satu-satunya kemahuan anak bujangnya. Belajar sampai ke luar negara, takkan tak ada langsung perempuan yang berkenan di hati? Si Qisya tu jugak yang dia angankan! Agaknya, Zarif terkena sampuk atau sudah diguna-gunakan.

“Tak habis-habis keluarga kau menyusahkan aku, Ari!” gerutunya dengan nafas keras. Wajah lelaki itu terus menjelma di ruangan mata. Membangkitkan amarahnya yang terpendam di dasar hati.

“Kenapa mak bohong dengan abang?” soal Fazura.

“Bohong apa?”

“Kenapa mak beritahu nak hantar rombongan meminang Kak Qisya?” soal Fazura lagi penuh tanda tanya. Pelik memikirkan apa yang diberitahu kepada abangnya walaupun perkara itu tidak berlaku.

“Itu saja caranya untuk buat abang kamu balik ke Malaysia,” beritahunya bersama keluhan panjang. Bila cara lain sudah tidak menampakkan penyelesaian, dia terpaksa guna cara lebih licik.

Rindu kepada anak bujangnya itu sudah tidak tertahan. Dialah madu, dialah racun. Terlalu besar harapan dan impiannya terhadap Zarif. Sudah empat tahun anaknya merantau ke negara orang. Belum pernah sekalipun dia pulang. Sampai hati Zarif tidak mahu menjejakkan semula kaki ke tanah kelahiran dan tempatnya membesar hanya kerana seorang perempuan.

“Zarif takkan balik selagi pinangan Zarif ditolak Qisya. Malu Zarif, mak… malu nak tunjuk muka!”

“Habis kalau pihak di sana tak sudi, mak nak buat macam mana lagi? Takkan nak paksa?”

“Mak carilah jalan. Buatlah apa sekalipun asalkan Qisya jadi isteri Zarif. Kalau tak, biar Zarif bertapa di sini tak balik-balik. Biarlah emak tak jumpa Zarif lagi sampai bila-bila.”

Kata-kata itu membuatkan dia sesak nafas. Tidak dapat dibayangkan kalau dia tidak bertemu lagi dengan anak kesayangannya itu. Kerana itu juga dia sanggup turutkan apa sahaja permintaan Zarif. Tapi masalahnya, bukan semudah itu mahu mendapatkan apa yang dicita. Hati orang bukannya boleh dijual beli dengan wang ringgit.

“Minta maaflah, Ton… bukannya saya tak sudi kita berbesan, tapi Qisya tu masih belum bersedia nak kahwin.”

“Tapi anak teruna aku tu berhajat benar, Jannah. Qisya juga yang dia minta untuk dijadikan isteri. Kalau pasal hantaran kau letak berapa pun aku sanggup. Janji kita jadi besan.”

“Entahlah, Ton…”

“Kau pujuklah anak dara kau tu.”

“Bukan tak pernah cuba. Tapi kau tahulah budak-budak sekarang, bukannya boleh dipaksa.”

“Cubalah berbincang dengn dia baik-baik, Nah.”

Wanita itu mengeluh berat. “Maaflah, Ton… anggaplah dah tak ada jodoh. Kau cubalah cari anak dara lain dalam kampung ni. Kalau dengan Zarif, mesti ramai yang sudi.”

Penolakan Jannah petang tadi masih berlegar-legar dalam kepalanya. Sudah tiga kali dia luahkan hasrat hati anak bujangnya, tetapi hasilnya tetap sama. Masih juga mengecewakan. Naik pijar mukanya menahan malu. Semua-nya kerana Zarif!

“Mak Nah kan dah tolak hasrat abang. Petang tadi Mak Nah sendiri cakap Kak Qisya belum terbuka hati untuk kahwin.”

Suara Fazura menyedarkan Mak Ton tentang kemelut yang dihadapinya. Pening kepala betullah!

“Kalau merisik pun kena reject, macam mana nak pergi meminang? Silap-silap haribulan dengan barang-barang hantaran kena baling tengah laman. Lagilah malu,” ujar Fazura sambil menjegilkan mata.

“Bukannya abang kamu tahu. Tahulah mak nak uruskan nanti,” ujar Mak Ton dengan desah panjang. Ada sesuatu yang sedang dirancangkan kali ini.

“Tapi esok lusa bila abang dah balik mestilah dia tahu jugak. Mak tak takut abang mengamuk?”

Mak Ton tersenyum meleret. Dia sudah memikirkan hal itu panjang lebar. Plan A tidak menjadi, dia sudah mula susun plan B. Cuma plan C sahaja belum sempat difikirkan lagi.

Ternyata pertemuannya dengan Zaura petang tadi tidak sia-sia. Dia yakin rancangannya pasti akan berhasil. Bijak juga gadis itu. Idea yang diusulkan cukup bernas. Bukannya dia mahu bersekongkol dengan Zaura, tapi kalau ini sahaja jalan yang ada untuk membuatkan Zarif kembali ke sisinya, dia sanggup terima apa sahaja.

Cuma, rasa terkilan yang mengusik perasaannya masih belum hilang. Kenapa anak dara Jannah dan Jauhari juga yang Zarif mahu jadikan isteri? Ternyata, dari dulu sampai sekarang keluarga mereka tidak habis-habis menyusahkan hidupnya!

Cukuplah dulu kalau Jannah sanggup menikamnya dari belakang. Jauhari pula pernah memalukan dirinya. Sampai bila-bilapun peristiwa hitam itu akan terus tersemat kukuh dalam kepalanya. Bukan setahun dua dia memendam rasa. Sejarah itu sudah terukir menjadi parut yang cukup dalam. Malah, dia sudah bersumpah, keluarga dan keturunan Jauhari takkan hidup senang sampai bila-bila.

“Zarif… Zarif…” keluhnya perlahan. Kerana Zarif satu-satunya buah hati pengarang jantung, dia sanggup tebalkan muka menghadap Jannah. Dendam lalu disimpan jauh di lubuk hati. Sampai masanya nanti akan terhambur jua.

Kasih dan sayang terhadap anak lelakinya lebih bernilai daripada segala yang ada. Dialah satu-satunya anak yang mampu membuatkan dia bangga. Walaupun kenakalannya cukup terkenal sejak kecil, tapi Zarif sudah tebus semula apabila berjaya menjejakkan kaki ke menara gading. Luar negara pulak tu.

Tiga hari tiga malam dia buat kenduri doa selamat. Biarlah orang kampung kata dia riak dan mahu menunjuk-nunjuk, dipekakkan saja telinga. Yang penting anaknya berjaya. Tapi lain pula dengan anak bongsunya Fazura, memang malas belajar. Setakat habis SPM. Itupun kandas!

Husna pula begitu mengecewakan dirinya dan keturunan Haji Ismail! Anak sulungnya itu sanggup kahwin lari di Golok dengan duda anak tiga. Kerana cinta buta Husna sanggup buang keluarga. Baginya, Husna sudah mati. Kerana perkahwinan yang ditentang, Husna sanggup menjatuhkan nama baik keluarga.

Muka siapa yang tidak malu apabila anak perempuannya sanggup bertindak sejauh itu. Apalagi dengan kedudukan yang mereka miliki. Dalam kampung ini keluarganya paling ternama dan berharta. Tapi sayang, Husna sanggup memalit lumpur pada nama baik dan keturunan mereka.

Kini, hanya Fazura sahaja yang sanggup ke hulu ke hilir dengannya. Husna entah di mana, Zarif pula membawa diri ke luar negara. Tetapi dia perlukan pewaris untuk menyambung warisan kedai emas Haji Ismail yang diturunkan daripada Tok Aki. Zarif sahaja jadi harapannya yang terakhir. Kerana anak-anak lain dan suaminya sendiri sudah tidak boleh diharap.

Lebih menyakitkan hati bila suaminya sendiri membuat onar. Bukannya dia tidak tahu Haji Ismail sudah beristeri baru secara diam-diam. Tetapi disabarkan sahaja hati asalkan segala harta suaminya itu masih dalam genggaman. Dia sanggup pekakkan telinga dan butakan mata.

“Mak suka ke jadi besan Mak Nah?“

Mak Ton tersentak mendengar soalan anak daranya. Segala lamunannya terbang melayang.

“Mak suka?”

“Apanya?” soal Mak Ton hilang punca.

“Mak suka ke nak berbesan dengan Mak Nah tu?”

“Huh… kau ingat mak ni kempunan sangat nak bermenantukan si Qisya tu? Kalau tak kerana abang kau paksa, tak ingin aku tersua-sua muka berulang-alik ke rumah buruk hujung kampung tu.

“Habis tu… sampai tiga kali mak pergi merisik?” Suara Fazura sudah berbaur menyindir.

“Ini semua abang kau tulah… macamlah tak ada anak dara lain dalam kampung ni. Kalau susah sangat, biar dia bawa balik minah orang putih dari sana. Lagi baik daripada dia kahwin dengan si Qisya tu!”

“Habis tu, jadi ke tak?”

“Hmm…” Mak Ton mengangkat kening tinggi.

“Pasal abang nak kahwin dengan Kak Qisya. Jadi ke?”

“Kalau abang kau sampai dah gila bayang sangat, biarlah mereka kahwin. Tak lama. Mak berani jamin. Esok lusa bila dah jadi isteri, dah dapat… dah puas… ditinggalkan jugak!”

“Betul ke, mak?”

“Lelaki, Zura… mak faham sangat perangai lelaki. Bila tengah bercinta, mabuk asmara… semua sayang. Nanti bila dah longgar sana sini, pandang sebelah mata pun tak sudi.”

“Tapi Kak Qisya tu cantik. Sebab tulah abang gila bayang. Memang dari sekolah lagi Zura tahu abang minat dengan dia.”

“Huh! Apalah sangat yang ada pada si Qisya tu. Bukannya lawa mana pun. Cantik lagi emak kamu ni masa muda-muda dulu.”

Fazura sudah menekup mulut. Tahan gelak.

“Masuk universiti pun sekerat jalan. Akhirnya, setakat jadi kerani kat pekan,” cemuh Mak Ton dengan bibir terjuih.

“Tapi mahu ke dia kahwin dengan abang? Mak cakap dengan abang, Mak Nah dah terima. Dua tiga hari lagi mak nak hantar rombongan masuk meminang. Dah tu kalau mereka tolak lagi macam mana?”

“Tahulah mak nak uruskan nanti. Kau jangan risau. Kita ni berduit. Nak buat apa pun boleh. Kau tengok sajalah esok-esok, Mak Nah dengan si Qisya tu datang menyembah kaki mak sebab tak sabar-sabar nak kahwin dengan Abang Zarif kau. Percayalah!”

Fazura menggaru kepala. Pelik dan pening dengan tingkah emaknya. Mungkinkah ada kena-mengena dengan kedatangan Zaura tadi?

Bab 4 ~ Berkasar bukan caranya, angah

TERASA darah panas menyirap ke muka. Sebaik pulang dari kerja dan masuk ke dalam rumah, mata Qisya terasa sakit melihat apa yang tersusun cantik di ruang tamu rumahnya.

“Mak Ton tu tak faham-faham lagi ke?” Qisya sudah bercekak pinggang dengan nafas turun naik. Dia duduk di sofa sambil mengurut dada, meredakan rasa geram dan gusar di hati.

Kerja gila apa ni? Menyusahkan betul! Kenapa bebal sangat dia orang ni? Hatinya mengamuk. Bila orang cakap baik-baik tak mahu dengar. Habis tu, nak cakap macam mana lagi? Bahasa Jepun? Jerman? Atau Bangla?

Puan Jannah hanya melepas nafas berat, termenung panjang. Hatinya cukup walang memikirkan apa yang berlaku. Pinangan yang diterima langsung tidak pernah diduga.Sungguh dia keliru dan begitu terkejut. Apa yang sebenarnya berlaku? Kenapa keluarga Zaiton hantar pinangan mengejut begini tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepadanya?

Qisya membuang rasa marah yang bergayut di dada. Dia memandang set hantaran berwarna ungu itu dengan bibir diketap kuat. Bencinya kian membuak-buak terhadap lelaki bernama Zarif Arfan.

Jakun betul! Hantu! Dari dulu sampai sekarang perangai tetap tak berubah. Suka sangat buat kerja gila. Kalau ikutkan hati yang radang, sudah lama disepahkan semua hantaran tersebut. Mahu sahaja dibaling ke tengah laman. Biar padan muka! Biar semua orang tahu. Mungkin itu sahaja caranya untuk buat Mak Ton sekeluarga faham! Tetapi kerana hormatkan mak, dia cuba bersabar. Bila orang datang beradat, mereka tetap perlu menghormatinya.

“Kita pulangkan semula semua hantaran ni, mak. Lagi cepat lagi baik” usul Qisya bersungguh-sungguh.

“Tak boleh, kak long…” balas Puan Jannah lambat-lambat. Fikirannya terus runsing.

Qisya terkejut. Matanya bulat dengan dahi berlapis. Dipandang ibunya dengan rasa tidak percaya. Begitu juga dengan Afif yang terduduk memandang sejak daripada tadi.

“Mak dah terima pinangan Mak Ton?” soal Afif bagaikan tidak percaya. Jawapan mak mengundang tanda tanya yang cukup dalam.

Dada Qisya mula berdebar kalut. Ya ampun… janganlah mak terima. Hatinya terasa bagai digaru.

“Hantaran ni bukan untuk kak long.”

“Apa?” Afif terkejut besar.

Mata Qisya pula sudah tersembul keluar.

“Memang Mak Ton yang hantar pinangan. Tapi bukan untuk kak long…” ujar Puan Jannah lemah.

Qisya dan Afif saling toleh-menoleh.

“Siapa lagi yang dipinang dalam rumah ni? Kalau bukan kak long…” Kata-kata Afif terhenti di situ.

“Zaura?!” soal Zaura dan Afif serentak. Terkejut bukan kepalang. Kemudian mereka terdiam seribu bahasa. Sedang mencerna apa yang berlaku. Masih bingung kenapa pinangan Mat Ton beralih kepada adiknya.

“Tak dapat kakak, dapat adik pun jadi,” tingkah Taufik sambil ketawa kecil. Dia keluar dari dapur menatang air panas dan cucur jemput-jemput. Dia memang rajin membantu mak. Berbeza benar dengan sikap anak dara yang sudah dipinang orang.

“Mak pun terkejut bila nampak orang ramai-ramai depan rumah. Kita tak bersedia. Mak suruh Taufik panggilkan Pak Long Mahat dengan Mak Long Tijah, nasib baik mereka ada.”

“Tapi kenapa Mak Ton pinang Zaura? Dah tak betul ke orang tua tu?” soal Afif ragu-ragu.

“Entah-entah Mak Ton pinang alang untuk Haji Ismail sebab Abang Zarif tu cuma tergila-gilakan kak long.” Taufik sudah tersengih dengan telahannya itu. Dia tergelak membayangkan kakaknya duduk di pelamin bersanding dengan orang tua. Nak sangat yang kaya. Ambik kau!

“Fik…” Suara Qisya panjang.

“Orang main-main aje.”

Qisya menjeling tajam. Dalam keadaan tertekan begini dia tidak berminat untuk berjenaka.

“Memang betul, kak long. Kan pelik tiba-tiba Zaura yang dipinang untuk Abang Zarif. Entah-entah ada muslihat lain.” Afif meluahkan tanda tanya yang bermain di fikirannya.

Qisya mendesah. Dia memandang wajah Puan Jannah dengan rasa ralat. Musykil dengan pihak lelaki yang menghantar pinangan secara tiba-tiba. “Mak dah setuju?”

Nafas Puan Jannah menderu keras. Hatinya galau. Bermacam-macam perkara sedang berlegar di benaknya.

“Alang tu budak lagi, mak. Baru 19 tahun. Takkan Mak Ton tak tahu?” tambah Afif.

“Habis tu… kalau empunya badan sendiri dah setuju, mak nak cakap apa lagi? Tak ada alasan nak bagi.”

Mata Qisya dan Afif terbelalak. Berita itu benar-benar membuatkan mereka berdua terkejut. Zaura terima? Bagai tidak tertelan air liur.

“Amboi… kerja dapur pun tak tahu, ada hati nak menikah? Bertuah punya budak!” bentak Afif geram.

“Alang kan baru masuk matrikulasi, mana boleh kahwin. Lagipun takkan dengan Zarif?”

“Kak long tu dengki!” sergah Zaura yang baru keluar dari bilik. Sudah lama dia pasang telinga. Mendengar perbualan mak dan adik-beradik secara terang-terangan tidak setuju.

Qisya memandang adiknya dengan rasa kesal. Tersentap juga bila dituduh iri hati dengan adik kandung sendiri.

“Zaura! Jangan cakap dengan kak long begitu. Kenapa dengan kamu ni? Sejak bila lupa nak hormatkan orang lebih tua?” Suara Puan Jannah cukup tegas. Matanya memandang tajam wajah Zaura.

“Buat apa kak long nak dengki? Alang sendiri tahu kak long dah banyak kali tolak hasrat dia.”

“Ah, alasan!” cebik Zaura.

“Jaga sikit mulut tu, alang. Jangan nak kurang ajar dengan kak long. Sedar diri tu sikit.” Afif sudah merenung Zaura dengan pandangan tajam. Silap-silap haribulan, mulut Zaura akan kena sental.

Qisya pula yang bimbang. Bukannya dia tidak tahu sikap Afif. Cepat melenting dan hilang sabar dengan kerenah Zaura. Perangai Afif saling tidak tumpah macam arwah Tok Ali, bapa mak.

“Yalah! Kak long tak setuju sebab cemburu dengan alang. Tak suka tengok alang hidup senang,” sindir Zaura lancar.

“Zaura Amani!” Suara Afif sudah tinggi. Siap sebut nama penuh lagi. Sudah ada tanda-tanda kesabarannya bakal melayang.

Zaura menentang pandangan keras abangnya walaupun dalam hati sudah terasa kecut.

“Angah…” Suara lembut Qisya memadamkan sedikit ketegangan antara adik-adiknya.

“Betul ke Mak Ton pinang alang, mak? Tak percayalah angah. Selama ni, kan dia datang merisik kak long.” Afif masih tidak puas hati.

“Kenapa tak boleh pulak?” celah Zaura geram.

“Kau jangan menyampuk boleh tak? Pergi masuk dalam sekarang,” arah Afif dengan pandangan menyinga. “Umur baru 19 tahun dah gatal nak kahwin! Nanti belajar pun entah ke mana. Angah tak percaya Abang Zarif suruh pinang alang. Mustahil!”

“Kalau tak betul, takkanlah Mak Ton hantar rombongan?” Zaura masih tidak mengaku kalah.

Afif mendengus kasar. “Habis tu… dah terima?”

Puan Jannah mengangguk lemah. “Zaura sendiri mengaku dengan Mak Ton dia sanggup.”

Pandangan Afif mencerun ke arah adiknya. “Dah gatal sangatlah tu nak berlaki orang kaya.” Kemarahannya semakin menular.

“Alang kalut sangat nak berlaki, kenapa? Sebab nak hidup senang? Kalau macam tu, berhenti belajar. Tak adalah susahkan kak long penat-penat cari duit untuk alang,” sindir Taufik pula. Cukup tajam.

Kalau dah ada harta, ada duit… buat apa penat-penat belajar lagi? Bodoh betul Taufik ni! Kata-kata itu hanya bergema dalam hati Zaura. Tidak berani diluahkan. Takut penampar Afif melayang ke muka.

“Menyusahkan orang betul. Buat keputusan tak fikir panjang. Bukannya nak berbincang dengan orang tua.” Jari Afif sudah menunjal-nunjal kepala adiknya. Kalau ikutkan hati, pipi Zaura sudah makan penampar.

Zaura berlari masuk ke dalam bilik dengan rasa sakit hati. Geram kerana kepalanya jadi sasaran. Dia sudah tekad. Apa yang akan berlaku mesti berlaku. Tidak boleh patah balik lagi. Keputusannya tidak boleh diundur semula.

“Sudahlah tu, angah. Marah pun dah tak guna,” keluh Qisya dengan rasa kesal. Kecewa kerana Zaura bertindak tanpa mendahulukan keluarga. Dalam hal sebesar ini sepatutnya mereka sekeluarga berbincang dahulu. Sama-sama cari kata sepakat, barulah buat keputusan.

“Masalah betul!” Afif mendesah sambil melurut rambut ke belakang berkali-kali. Hatinya terasa panas.

Kepala Qisya pula mula berdengung. Apa yang berlaku benar-benar memberi tekanan. “Macam mana mak?”

“Entahlah, kak long. Mak sendiri pun buntu. Pak long cakap, dalam hal ni Zaura sendiri yang boleh tolak sebab dia yang terima depan Mak Ton. Kita tak boleh nak buat apa-apa.”

“Degil betullah si Zaura ni. Pandai-pandai terima tanpa berbincang dengan kita dulu!” desah Afif semakin kuat.

“Itulah yang mak keliru. Kenapa Zaura setuju terima Zarif? Macam ada yang tak kena. Mak tak sedap hati sebab setahu mak, Zarif sukakan kak long. Kamu berdua pun dah kenal dari kecil lagi.”

“Tapi kita masih ada hak bersuara, mak. Pulangkan saja hantaran tu. Minta maaf elok-elok, mesti dia orang faham.” Spontan Afif memberi cadangan.

“Zaura siap ugut mak…” Suara Puan Jannah tertahan-tahan. Dalam dada sedang menanggung rasa kecewa bukan kepalang. Anak yang dididik dengan ajaran agama yang baik dan penuh kasih sayang sanggup mengeluarkan kata-kata begitu. Terusik hati tuanya.

Qisya dan Afif tercengang. Saling berpandangan.

“Kalau kita bangkang, dia nak lari ke Golok. Kahwin macam Husna, anak Mak Ton,” ujar Puan Jannah sambil menelan liur. Di kerongkong sudah terasa perit. Bagaimana kalau Zaura mampu bertindak sejauh itu? Salahkah didikan dia selama ini?

Mahat sendiri sudah menggenggam tangan dan mengetap gigi sebab terpaksa menyabarkan hati dengan kerenah anak daranya. Malu juga Puan Jannah pada Tijah. Tidak tahu mana hendak letak muka bila anak daranya sudah memandai sendiri tentukan soal jodoh kahwin. Rasa sedih bertimpa-timpa. Kalau arwah suaminya masih ada, tentu perkara ini tak akan timbul.

“Alang cakap macam tu dengan mak? Budak ni memang dah melampau. Dia ingat, dia dah besar sangat! Dah pandai tunjuk perangai kurang ajar!” Tubuh Afif tegak. Kesabarannya sudah hilang. Dia berdiri mahu ke bilik Zaura.

Mata Qisya bulat melihat Afif bangun. Dia ikut berdiri.Sempat dia menarik lengan adiknya. “Sabarlah, angah… kita bincang dulu macam mana nak selesaikan masalah ni elok-elok. Kalau angah pukul alang sekalipun, masalah tetap tak akan selesai” pujuknya lembut.

“Macam mana nak sabar, kak long… kalau adik sendiri dah naik setan? Sanggup dia cakap begitu dengan mak dan pak long? Kalau angah tak ajar dia sekarang, semakin menjadi-jadi nanti.”

“Jangan, angah. Mak pun tak mahu angah berkeras dengan dia. Kita nasihat saja perlahan-lahan.”

Afif patuh.

“Pak Long Mahat ada cakap apa-apa, mak?” soal Qisya perlahan. Dalam hati cukup terkilan dan kecewa dengan sikap Zaura. Sikap degil dan keras kepalanya sukar betul mahu diajar.

“Dia suruh kita berbincang anak-beranak. Kalau boleh, pujuk alang agar jangan buat keputusan ikut rasa hati.”

“Alang tu nak kena ajar, mak. Biar dia sedar diri. Kalau tak, naik kepala dia nanti. Berangan nak hidup senang saja yang dia tahu!”

“Tak apalah, mak, angah… biar kak long cakap dengan alang dulu. Biar kak long tanya betul-betul kenapa alang buat keputusan begitu.”

“Tak guna cakap dengan dia, kak long. Budak tu kena ajar aje. Bagi penampar dua tiga kali barulah dia sedar balik.”

“Berkasar bukan caranya, angah. Nanti dia lebih benci dengan kita. Alang ingat kita cemburukan dia. Mungkin dia belum sedar.” Walaupun berat, Qisya cuba bersikap rasional. Mereka perlu selesaikan secara baik dan tenang sebelum keadaan jadi lebih bercelaru.

Bab 5 ~ I never meant this to happen

“APA khabar, Mak Nah?” soal Zarif sambil meraih dan tunduk mencium tangan bakal mak mertuanya itu. Sejak sampai ke kampung, dia tidak senang duduk selagi tidak bertemu dan bertentang mata dengan orang yang amat dirindui.

Gila! Dia memang gila. Tengok siling nampak muka Qisya. Tengok televisyen pun wajah Qisya yang tiba-tiba jadi watak heroin.

Paling darurat, bila tengok pinggan nasi, muka bujur sirih itu juga yang menjelma. Sampai nak makan pun terasa sayang. Takut nanti dia boleh mati kebulur sebab gila bayang.

Sedikit demi sedikit nafas dihela. Lega. Setelah empat tahun tidak menjejakkan kaki ke kampung halaman, akhirnya dia kembali. Rasa rindu terubat jua.

“Sihat, Zarif? Kenapa datang tak beritahu? Bila kamu balik? Dah lama sampai?” soal Puan Jannah bertubi-tubi. Dia begitu terkejut menerima kunjungan daripada anak muda itu secara tiba-tiba.

“Alhamdulillah… sihat Mak Nah.” Kuih bangkit dan kuih sepit yang dibeli di kedai Haji Zakaria sebelum ke mari tadi dihulurkan sebagai buah tangan. Depan bakal mak mertua kenalah pandai ambil hati. Kalau jadi kahwin dengan anak Mak Nah, mesti bahagia rumah tangga. Hatinya bercanda.

“Terima kasih. Buat susah-susah saja. Bila kamu balik?” soal Puan Jannah sekali lagi sambil memandang Zarif tidak berkelip. Anak muda itu kelihatan sudah banyak berubah. Penampilan dan perwatakannya semakin matang. Yang pasti wajahnya cukup tenang.

“Semalam,” beritahu Zarif perlahan. Kalau ikutkan, badannya teramat letih. Perjalanan 22 jam dari Los Angeles masih terasa. Segala urat saraf terasa kejang. Ditambah pula dengan jet lag kerana perubahan masa. Tapi desakan hati membuatkan dia sampai ke sini.

“Duduklah,” pelawa Puan Jannah sambil ikut duduk bertentangan dengan anak muda itu. Hatinya dihuni tanda tanya. Datang berkunjung atau ada kena-mengena dengan pinangan tempoh hari? Mungkin ada sesuatu yang hendak dibincangkan.

“Sunyi aje, Mak Nah? Mana yang lain-lain?”

“Afif dengan Taufik keluar. Zaura dengan Qisya ada. Kamu duduklah dulu ya? Mak Nah ke dapur buatkan air.”

Zarif mengangguk.

Kemudian Puan Jannah ke bilik anak daranya. Zaura yang ralit dengan majalah disuruh buatkan minuman untuk anak muda itu. Membaca pulak dia! Tadi bukan main suka bila diberitahu Zarif datang.

Ketika keluar dari bilik, Zaura sempat berbalas pandang dengan Zarif. Senyuman manis dihadiahkan. Mahu menegur, tetapi dia bagaikan hilang suara.

Buat seketika dia terpana. Hatinya bergetar. Langsung tidak menyangka lelaki yang melamarnya secara tidak sengaja punya personaliti yang begitu memikat.

“Alang…” laung Puan Jannah dari dapur.

Zaura tersentak. Dalam terpaksa dia melangkah berat.

Zarif hanya tersenyum menggeleng. Setelah beberapa saat dia mendesah pula. Antara dia dan Zaura tidak mungkin akan bersama. Gadis itu sebaya dengan Fazura. Sudah dipandang seperti adik sejak dulu. Tetapi apa yang berlaku benar-benar di luar kemahuannya.

Teringat apa yang beritahu kepadanya sebaik sampai ke rumahnya. Fazura terus buka cerita walaupun emak mereka menjeling tajam. Terasa mahu meraung pun ada apabila tahu cerita sebenar.

Kenapa Zaura pula yang dipinang sedangkan dia mahukan Qisya? Sedih, kecewa dan kesal bagai menghentam dada. Tapi apakan daya, segalanya telah berlaku tanpa pengetahuannya.

“Apa semua ni, mak? Kenapa mak bohong dengan Zarif? Kalau tahu ini yang berlaku, tak sanggup Zarif nak jejak kaki ke sini. Zarif takkan balik!” hamburnya dengan rasa sakit hati.

“Emak buat semua tu bersebab.”

Tenang sahaja wajah emak berkata begitu, sedangkan dia yang terpaksa berdepan dengan kesannya. Tetapi apabila senyuman sinikal terukir di bibir emak, hatinya kian diserang tanda tanya.

Dia keliru pada mulanya. Tetapi bila emak membongkar cerita sebenar, marahnya kian reda. Kalau ini saja caranya untuk memiliki Qisya, dia turutkan sahaja. Gadis itu harus dimiliki!

Zaura! Segalanya kerana Zaura! Tidak pernah sekalipun hatinya terdetik melihat gadis itu. Apatah lagi beza umur mereka begitu ketara. Dulu, kali terakhir melihat Zaura ketika gadis itu baru di tingkatan satu. Malah, ketika bersapa pandang tadi pun hatinya tidak terdetik apa-apa. Keluhannya terhela lagi. Kali ini lebih panjang.

Kerana dipaksa Puan Jannah, Qisya keluar juga dari dapur. Dia benar-benar terkejut apabila diberitahu tentang kehadiran tetamu yang tidak diundang itu. Hatinya berdebar.

Zarif bangun. Matanya terpaku memandang gadis itu. Berbeza dari dulu. Semakin cantik. Semakin manis. Semakin menawan. Hatinya sudah lama tertambat. Malah, tidak pernah berubah.

Sekilas bertemu mata, Qisya tergamam. Jantungnya berdegup kencang. Lelaki yang berdiri di hadapannya banyak berubah. Bukan lagi Zarif yang dulu. Sudah enam tahun mereka tidak pernah bersua muka. Tubuhnya yang kurus melidi sudah nampak tegap. Sekali pandang memang ada iras-iras pelakon kacak Jake Gyllenhaal. Dan kini dia bagaikan tidak percaya. Benarkah Jake Gyllenhaal sedang berdiri di depan mata?

Qisya… cuba tengok betul-betul. Hatinya memberi pendapat.

Dia merenung lagi. Ya! Bila dua kali pandang memang tak lain tak bukan, dia tetap Zarif Arfan a.k.a jakun Sekolah Menengah Tun Johari yang sentiasa bikin sensasi dengan kenakalannya.

“Qisya…” Zarif juga terpana. Pandangan gadis itu cukup memukau. Alis matanya lentik telah membuatkan dia tertarik sejak dulu lagi.

Mendengar namanya disebut, Qisya tertunduk. Malu juga kerana tidak sedar dia merenung Zarif. Lama.

“Dah lama kita tak jumpa,” tegur Zarif sambil tersenyum menawan. Untung-untung pendirian gadis itu sudah goyah. Biar perasaannya kacau-bilau. Biar nama Hakim Haji Hamzah luput terus daripada hati gadis itu. Dan ruang kosong itu akan terisi dengan nama Zarif Arfan.

Qisya hilang kata.

“Apa khabar?”

“Aaa… err… sihat.” Qisya tergagap-gagap. Entah kenapa dia berdebar bila bertentang mata dengan lelaki itu. Setelah enam tahun tidak bersua muka, banyak yang berubah. Mereka kini bukan lagi remaja belasan tahun.

Dia jadi kalut. Kalau tidak dipaksa mak, tak sanggup rasanya dia berdepan dengan Zarif. Tetapi hatinya didesak. Dia mahukan penjelasan yang logik dan realistik.

Dia menarik nafas panjang, lalu dihela perlahan-lahan. Segala debaran di dada cuba diusir jauh-jauh. “Duduklah, Zarif,” pelawanya.

Zarif duduk. Dadanya kian dilanda debar. Buat beberapa ketika mereka saling menyepi.

“Apa yang awak buat ni?” soal Qisya secara tiba-tiba. Perlahan tetapi cukup tegas dan jelas.

Zarif menjongket bahu.

“Kenapa pinang Zaura?”

“Saya hanya menumpang kasih pada yang sudi.” Sengaja Zarif ingin menduga penerimaan gadis itu.

“Sudahlah, Zarif… jangan main-main. Apa sebenarnya niat awak? Berterus teranglah.”

Zarif hanya tersenyum.

“Saya tahu awak tak ikhlas.”

Zarif menjongket kening. “Awak boleh baca hati saya dan perasaan saya? Awak tahu apa yang saya fikirkan?” soalnya menyindir.

“Setelah tiga kali Mak Ton merisik saya, tiba-tiba kenapa Zaura pula yang dipinang.”

I never meant this to happen. Saya suruh mak pinang awak, tapi lain pula jadinya. Saya sendiri tak sangka dan terkejut.”

Qisya jadi pelik dengan penerangan Zarif. Masakan Zarif tidak tahu? Takkan Mak Ton buat keputusan sendiri?

“Mungkin ini yang terbaik untuk saya. Who knows. Maybe she’s the one for me,” ujar Zarif lambat-lambat.

Kata-kata itu membuatkan Qisya semakin hilang hormat pada lelaki di hadapannya. Tidak ada pendirian!

“Tak pernah terlintas di fikiran saya untuk memperisterikan Zaura. Sebab saya cuma mahukan awak. Ikhlas saya katakan, perasaan tu wujud sejak sekolah lagi.” Perlahan tetapi jelas dan tegas kata-kata itu terucap di bibir Zarif bersama renungan yang mampu menggentarkan perasaan Qisya.

Qisya terkejut.

Never change my feeling a bit towards you.”

“Jadi, semua ni? Awak nak balas dendam dengan melamar Zaura, begitu?” Nada Qisya kian tinggi. Geram. Bukannya lelaki itu tidak tahu yang mereka tidak pernah mempunyai hubungan perasaan.

Zarif meraup muka. Belum masanya untuk dia menjelaskan apa yang berlaku. Dia tidak akan menang jika berbuat begitu.

“Kenapa, Zarif? Jangan mainkan perasaan kami. Ini soal maruah.” Suara Qisya kedengaran kendur.

Hati Zarif sedikit terusik. Ada rasa bersalah yang hadir.

“Soal hati dan perasaan jangan dipaksa-paksa. Kalau awak tak pernah sukakan Zaura, putuskan hubungan tu.”

“Kita?”

Qisya menggeleng. “Tak ada istilah ‘kita’ di sini. Awak sendiri tahu kenapa. Dan saya amat pasti awak dah tahu hati saya milik siapa.”

Keluhan terhela dari bibir Zarif. “Saya ikhlas, Qisya. Saya minta emak merisik awak bukan untuk suka-suka. But you are everything I wanted. Lahir dari hati dan perasaan yang suci.”

Qisya menggeleng. Lelaki itu menuntut sesuatu yang mustahil.

“Jodoh, tiada siapa yang tahu. Segalanya mungkin. Maybe the man of your dreams could be standing right in front of you,” ujar Zarif mendatar.

Bukannya Zarif tidak tahu selama ini dia dan Akim suka sama suka. Sejak tingkatan lima, satu sekolah sudah tahu hubungan mereka. Seingga kini mereka masih menjalinkan hubungan. Malah, sudah menyimpan angan untuk bersatu di alam perkahwinan.

“Akim tak sesuai untuk awak.”

Kata-kata Zarif sebelum ke luar negara dulu kembali mengusik memorinya. Apa sebenarnya yang dia maksudkan? Benak Qisya berteka-teki. Mungkin Zarif sengaja menghasut. Mungkin juga kerana iri hati. Dia tahu Zarif dan Akim pernah menjadi sahabat baik suatu waktu dulu. Tetapi hubungan mereka renggang kerana ada sesuatu yang telah berlaku.

Pernah dia bertanya kepada Akim, namun dia tidak pernah mendapat jawapan yang tepat kenapa persahabatan mereka menjadi sengketa.

“Dia tikam saya dari belakang.”

Itu sahaja penjelasan Akim. Akhirnya, dia mengalah untuk terus bertanya. Mungkin ada sesuatu yang begitu besar dan menjadi rahsia antara mereka.

“Tolong jangan permainkan maruah keluarga saya. Kalau awak tak sayangkan Zaura, jangan gunakan dia.”

“Jadi, awak kahwin dengan saya.” Zarif bagai memberi kata dua. Bagai satu ugutan.

Mata Qisya membulat. Diketap bibir dengan nafas semakin panas. Istilah dia dan Zarif tidak pernah terlintas. Tidak pernah wujud. Malah, tak akan pernah tercipta sampai bila-bila.

“Ingat tak kita pernah bersanding dulu?” Zarif membuka cerita lama.

Qisya mendengus geram. “Itu zaman kanak-kanak. Sekarang kita sudah dewasa. Boleh tak awak berfikir dengan lebih matang?”

Langkah Zaura dari dapur terhenti. Melihat kakaknya dan Zarif berbual membuatkan ada sesuatu yang sedang menusuk ke hatinya. Halus menyengat ke dasar hati. Sejak pertama kali bertemu mata dengan lelaki itu setelah sekian lama, nalurinya terus bergetar. Mengusik hati remajanya. Inilah pertama kali dia berperasaan begitu terhadap lelaki.Namun ada sesuatu yang bermain di fikirannya.

“Rancangan ni cuma untuk pastikan kak long terima Abang Zarif.”

Kata-katanya pada Mak Ton beberapa minggu lalu kembali terngiang-ngiang di telinga. Tetapi pendiriannya sudah berubah. Perasaannya terasa indah. Penampilan lelaki itu terlalu memukau. Kacak dan bergaya walaupun hanya berkemeja hitam dan berseluar jean warna biru cair.

Tidak! Dia tidak mahu lelaki itu menjadi milik kak long. Hatinya menghasut. Dia yang sepatutnya memiliki Zarif. Lelaki itu cukup lengkap dalam semua segi. Ada rupa, berpendidikan tinggi dan ada harta yang pasti akan membuatkan dia hidup senang.

“Alang!”

Suara Puan Jannah mengusir khayalan anak gadisnya.

“Kenapa tercegat tu? Pergilah hidangkan air,” arah Puan Jannah sambil melangkah dengan sepiring pisang goreng di tangan.

Perbualan Zarif dan Qisya terhenti. Masing-masing mendiamkan diri. Perbualan mereka masih belum tamat.

“Silalah, Zarif. Ini saja yang ada,” pelawa Puan Jannah

Zarif mengangguk sambil memandang Zaura yang menghulurkan cawan minuman padanya. Zaura juga ada iras Qisya. Tinggi lampai dan cantik. Tetapi hatinya tidak tertarik.

Setelah Zarif meminta diri, pantas Puan Jannah menarik tangan Qisya masuk ke dapur. Sudah tidak sabar mahu tahu perkara sebenar.

“Zarif masih ada hati pada kak long?” soalnya terus. Berdasarkan pandangan anak muda itu terhadap Qisya, hatinya begitu yakin telahan itu benar.

Qisya tertunduk. Diam.

“Mak boleh teka daripada pandangan dia tadi. Betul kan… dia masih ada hati dengan kak long?”

Qisya mengangguk.

“Habis tu… kenapa lain pula jadinya? Kenapa Mak Ton hantar rombongan meminang alang?”

Qisya tiada jawapan untuk itu.

“Kak long memang tak boleh terima dia?”

“Tak mungkin, mak. Sampai bila-bila pun kak long tak mungkin terima Zarif sebagai teman hidup.”

Puan Jannah mendesah. Keliru. Apa sebenarnya yang sedang dirancangkan Zaiton?

Bab 6 ~ Awak yakin dia setia?

QISYA mendesah. Lagi dan lagi. Sudah tidak terbilang. Fikirannya berserabut. Hatinya walang. Bimbang memikirkan situasi dirinya. Lelah juga setelah membaca kiriman e-mel daripada Akim.Balik-balik itu juga jawapan yang diterima.

Bila saya tamat pengajian kita akan bersatu juga. Saya berharap sangat awak mampu bersabar. Kalau jodoh antara kita ada, tentu tak akan ke mana.

If we’re meant to be… we’ll be together in the end. Percayalah! Saya tak mungkin kecewakan awak. Because you’re the only person I know inside my heart.

Dia gembira dengan keyakinan Akim untuk terus bersamanya. Tetapi sedikit sebanyak ada rasa sebak bergetar di dadanya. Dia kecewa kerana hubungan mereka masih belum melibatkan. Bukan niatnya mahu mendesak atau memaksa. Tapi dalam keadaan begini, dia mahu Akim tunjukkan kesungguhannya. Apa salahnya kalau pihak Akim datang ke rumah hantar tanda? Sekurang-kurangnya kalau mereka sudah bertunang, tidak perlulah dia berdepan dengan mana-mana lelaki yang cuba dekat dengannya lagi.

Dia tahu lelaki itu mahu mengejar cita-cita terlebih dahulu. Mahu berkerjaya dan membalas jasa mak bapanya sebelum mendirikan rumah tangga. Tapi dalam hal ini dia benar-benar perlukan sokongan daripada Akim.

Bagaimana jika Zarif terus mendesak? Hubungan mereka masih di awang-awangan. Walaupun di hati sudah terikat, tetapi hakikatnya apa sahaja boleh berlaku. Dia tidak sanggup menunggu sesuatu yang belum pasti.

Qisya menilik jam di pergelangan tangan. Sudah pukul 6.30 petang. Dia lekas-lekas mengemas meja untuk pulang. Sebaik keluar dari pejabat, pandangannya dikejutkan dengan sesuatu yang cukup menyakitkan hati.

“Apa awak buat di sini?” soalnya mula berang.

Wajah Zarif tetap tenang dan manis.

Qisya menoleh ke kiri dan kanan mencari kelibat Afif. Tetapi tidak kelihatan. Dia memandang lelaki itu semula. Berdiri sambil berpeluk tubuh di depannya. Dia mengecilkan anak mata. Geram!

“Saya hantarkan awak balik,” ujar Zarif sambil bermain-main dengan kunci kereta.

“Tak usah… saya tahu balik sendiri.” Sempat Qisya menjeling kereta Audi yang diparkir berhampiran dengan mereka. Matanya melilau lagi. Mencari Afif. Selalunya pukul 6.00 angah sudah telefon bila dia dah sampai, tetapi kenapa hingga sekarang masih belum juga nampak muka? Mana angah pergi?

“Awak cari siapa? Afif? I’m sure he’s not coming. Jomlah… saya ikhlas nak hantar.” Suara Zarif tenang seolah-olah memujuk.

Qisya mencebik. Tidak tergoda dengan kereta mewah yang ditayang di depan matanya.

“Kenapa? Tak percayakan saya?” Zarif tersenyum. “Tak-kan–lah saya nak bawa awak ke tempat lain. Saya dah janji dengan Mak Nah akan hantar awak sampai pintu rumah.”

Qisya terlopong. “Awak minta izin dengan mak nak jemput saya?” soalnya tidak percaya.

“Ada sesuatu yang kita perlu bincang.”

“Bincang apa lagi?” Qisya merenung Zarif lama. Lelaki itu nampak kacak sekali pada pandangan. Berkemeja coklat gelap dengan lengan baju dilipat ke siku. Berkaca mata hitam. Cukup bergaya. Ya, dia memang sudah banyak berubah! Tapi itu tidak bererti dia sukakan Zarif. Senang-senang jatuh hati? Tidak!

Baginya, kecantikan luaran tidak menjamin hati budi yang baik. Apatah lagi harta dan wang ringgit. Semua itu tidak pernah menjadi ukuran untuk mencari pasangan. Cukuplah hati yang baik dengan iman dan takwa. Kerana dia mencari lelaki yang mampu membimbing dirinya di dunia dan akhirat.

“Saya hantarkan…” Zarif sudah buka pintu sebelah kiri.

“Tak apalah. Saya balik dengan teksi saja.”

Zarif menggaru pelipis. “Kenapa?” Kaca mata hitamnya ditolak ke atas.

“Saya memang tak boleh ikut awak.” Pertama, Qisya memang tidak mahu berdua-duaan dengan lelaki itu sepanjang perjalanan nanti. Kedua, tentu orang kampung akan bergosip jika nampak dia dihantar dengan kereta mewah.

“Dah nak balik?”

Qisya berpaling apabila mendengar suara menegurnya dari belakang. Dia mula resah. Kelihatan Malik dengan senyuman gatal dan mata galaknya sedang memandang tubuhnya dari atas ke bawah.

“Adik tak datang? Kalau begitu, jom saya hantarkan awak balik,” pelawa lelaki itu dengan cukup yakin.

“Tak apalah, Encik Malik. Kawan saya pun dah datang. Jom, Zarif…” Tiba-tiba sahaja Qisya boleh berkata begitu. Dia sendiri terkejut.

Zarif tersenyum dan mula melangkah masuk ke kereta. Dia tahu Qisya hanya mahu melepaskan diri daripada lelaki itu. Daripada pandangannya, dia sudah tahu apa niat lelaki yang dipanggil Encik Malik oleh Qisya tadi.

“Siapa lelaki tu?” soal Zarif apabila Qisya mengambil tempat di sebelahnya. Dia menghidupkan enjin dan mula memandu dengan tenang.

Qisya masih diam.

“Dia cuba pikat awak?” soal Zarif sekali lagi.

“Maaf kalau saya dah susahkan awak,” ujar Qisya perlahan. Dengan tidak sengaja dia sudah terhutang budi.

Zarif sekadar mengangguk. Buat beberapa ketika suasana sepi antara mereka.

“Kenapa awak buat begini?”

Soalan Qisya mengundang helaan nafas panjang di bibir Zarif.

“Awak sedar tak… ada hati yang akan terluka nanti? Don’t you care?” sambung Qisya lagi. Suaranya tenang.

“Siapa?”

“Zaura, keluarga saya dan keluarga awak.” Mata Qisya sudah terjegil. Giginya diketap kuat.

“Kenapa awak tak terima saya?”

“Awak sendiri tahu jawapannya.”

Do not say that he’s the only reason,” tekan Zarif.

“Ya! Hanya dia yang ada dalam hati saya. Time will never make it change. Saya sudah ada Akim.”

“Awak masih setia?” Zarif mencebik. Bagai menyindir.

Qisya memandang wajah lelaki itu. Kemudian meng-angguk penuh yakin. Tiada apa yang mampu menggugat perasaannya lagi. Sudah bertahun-tahun mereka saling menganyam perasaan.

“Awak yakin dia juga setia?”

Qisya terdiam. Dia hanya mampu berdoa dan berpegang pada janji. Akim jauh di seberang sana. Hanya kejujuran dan kesetiaan yang dia harapkan daripada lelaki itu. Mungkin Zarif juga pernah bertemu Akim di sana.

“Awak yakin dia setia?” ulang Zarif sekali lagi.

Hati Qisya mula panas. Soalan Zarif bagai mempertikaikan kesetiaan kekasih hatinya. Seolah-olah mempersendakan hubungan mereka.

“Dia bukan macam awak.” Lancar sahaja kata-kata itu terluah. Dalam tak sedar, Qisya mula membayangkan per-bezaan antara kedua mereka.

Baginya, apa sahaja tentang Akim nampak baik. Sejak di bangku sekolah lagi, lelaki itu punya sikap bertanggungjawab. Sedangkan tingkah Zarif begitu berbeza. Sering sahaja membuat onar.

“Tapi kenapa sampai sekarang antara awak dan Akim masih belum terikat dengan sesuatu yang lebih pasti?”

Qisya tersentap. Soalan itu menggoyah keyakinannya. Hubungan mereka sudah lama berputik. Tetapi hakikatnya belum ada sesuatu yang pasti. Bukannya dia tidak pernah meminta. Tetapi Akim ada pendiriannya yang tersendiri.

Zarif memandang wajah Qisya yang bungkam. Suram. Mungkin dia terlalu mendesak gadis itu. “Saya simpati dengan apa yang berlaku,” ujarnya, mengubah topik perbualan.

Setelah pulang, baru dia tahu Qisya terpaksa berhenti belajar setelah kematian bapanya. Malah, terpaksa bekerja untuk menyara keluarga.

“Saya tak perlukan simpati sesiapa.”

“Tapi saya betul-betul nak jaga awak.”

“Jangan, Zarif…”

“Sekurang-kurangnya, saya sayangkan awak lebih daripada Akim.” Kata-kata itu bernada tegas.

Betapa Zarif amat kesal hubungan persahabatannya dengan Akim telah terputus. Tetapi dia tetap tidak akan membiarkan lelaki itu memiliki Qisya. Kerana Akim memang tidak layak!

Qisya menceber. Sinis. “Hati saya tak pernah berubah. Tak akan berubah.” beritahunya tegas.

“Awak yakin Akim akan jadi suami awak suatu hari nanti?” Soalan itu bagai satu sindiran.

“Kami saling mencintai dan itu sudah cukup untuk memberi kayakinan dan harapan.”

“Awak cukup yakin?”

Qisya mengetap bibir.

“Kami pernah berjumpa di sana. Dan dia masih lagi Akim yang sama. Yang dulu. Tak pernah berubah.” Sebab ternyata Akim tidak pernah ikhlas dengan awak, Qisya. Kata-kata terakhir itu hanya diluahkan dalam hati.

Apa yang diberitahu Zarif menyerlahkan senyuman di bibir Qisya. Hatinya senang. Ini bererti Akim masih setia pada cinta mereka.

Tetapi bagi Zarif pula, kata-kata itu bukan seperti yang Qisya sangka. Ada sesuatu tentang Akim yang Qisya tidak tahu. Yang terus menjadi rahsia.

Sebaik sampai di rumah, Qisya mempelawa Zarif masuk. Tetapi lelaki itu menolak secara baik.

Zaura yang mengintai dari balik jendela berasa sakit hati. Geram kerana lelaki itu ternyata lebih berminat dengan kakaknya.

Bab 7 ~ Kenapa kak long bencikan dia?

PRANGG! Sudip terlepas daripada pegangan tangan Qisya. Dia mengurut dada sambil menoleh ke sisi. Menjeling tajam pada Afif yang sedang terkekek mentertawakannya.

“Kak long berangan?”

Qisya mengecilkan mata, menjeling tajam. Kemudian dia tunduk mengutip sudip di atas lantai.

“Ingatkan siapa?”

“Apanya?”

“Jangan nak selindunglah, kak long. Angah tahu kak long tengah fikirkan pasal Abang Zarif.”

“Tak ada masa kak long nak ingatkan dia,” nafi Qisya. Sedangkan sejak tadi dia mengelamun jauh tentang kehadiran Zarif dalam keluarganya. Tentang lamarannya terhadap Zaura. Tentang apa yang mereka bualkan minggu lalu.

Bahkan, Zarif semakin dekat dengan keluarganya. Hampir setiap hari lelaki itu berkunjung ke rumah. Kalau dijemput bermalam di sini, rasanya Zarif boleh lupa jalan balik ke rumah sendiri.

Afif tersenyum. Mengejek.

Qisya merenung dengan mata mencerun.

“Marah nampak!” Afif menjongket-jongketkan kening.

“Jangan sebut nama dia. Kak long benci!”

“Eleh…”

“Belum siap lagi bihun goreng tu, Qisya?” soal Puan Jannah yang baru masuk ke dapur, lalu mengambil cerek lantas menjerang air.

“Macam mana nak siap kalau kak long asyik berangankan Abang Zarif. Tak makanlah kita, mak.”

Papp! Lengan Afif kena libas.

“Aduh! Kak long! Sakit tau!” Afif menggosok lengannya yang berasa pedih. Dia duduk di meja makan.

Qisya menjelirkan lidah. “Padan muka!” Sambil itu, tangannya lincah memasukkan bihun ke dalam bahan yang sudah ditumis. Berdesir bunyinya. Bau semerbak mula memenuhi ruang dapur.

“Siapkan cepat. Zarif pun dah ada di depan. Hidangkan pada dia sekali nanti. Buat kopi.”

Kata-kata Puan Jannah membuatkan Afif dan Qisya saling berpandangan. Kemudian Afif menekup mulut, menyembunyikan tawanya yang hampir terburai. Sedangkan Qisya membalas dengan jelingan 180 darjah.

“Err… tak malu betul! Tak ada kerja lain ke?” gerutu Qisya dengan muka cemberut.

“Apa nak malunya? Eloklah tu. Masa inilah nak kenal keluarga mertua sebelum nikah kelak.”

“Kalau ya pun, takkanlah tiap-tiap hari datang bertandang? Tak ke pelik? Macam tak sabar-sabar nak menikah.”

“Biarlah… hari nikah pun tak lama lagi. Mak pun dah suka dengan Zarif tu. Baik budaknya. Bila dah besar ni nampak bertanggungjawab pulak dia. Tak macam dulu. Lain benar dengan kelakuan Mak Ton.” Puan Jannah tersenyum senang.

“Tengok kak long, mak pun suka dengan Abang Zarif. Tak sabar nak buat menantu.” Afif mencelah.

“Entahlah, kak long. Mak cuma ralat… kenapa Zarif mesti bersatu dengan Zaura. Macam ada yang tak betul. Nampak tak kena… tak sepadan,” keluh Puan Jannah sambil berlalu.

Qisya termangu. Tidak sangka ibunya akan berkata begitu. Mudahnya mak jatuh suka pada Zarif. Apa lelaki itu dah buat?

“Mak sendiri dah sokong. Kenapa kak long masih tak mahu terima dia? Angah pun suka kak long dengan dia.”

“Apa maksud angah?”

“Jangan buat tak faham, kak long.”

Qisya mencebik. Hatinya kian jengkel apabila ahli keluarganya semakin sukakan Zarif. Kenapa mesti dengan lelaki itu? Apa mereka sudah lupa dia ada Akim? Hubungan mereka macam mana?

“Kenapa kak long bencikan dia?”

“Panjang ceritanya.”

“Pendekkan.”

Qisya mendengus. “Angah… satu hari satu malam pun belum tentu cerita boleh habis.”

“Teruk sangat ke dia?”

“Kak long memang benci dengan dia. Kalau ditakdirkan dia lelaki terakhir kat atas muka bumi ni pun, kak long tak akan terima Zarif sebagai suami.”

“Amboi… riaknya!” Afif menjuih bibir.

“Betullah…” Qisya memasukkan taugeh ke dalam kuali sambil fikirannya melayang jauh. Teringatkan kisah lama.

Masakan dia mampu memaafkan lelaki yang telah menghancurkan hidup temannya, Najlah.

“Aku malu, Qisya! Aku malu!” Tangisan Najlah bagai empangan pecah. Simpatinya menggebu.

“Kau tahu siapa yang cuba buat perkara tak senonoh tu?” soal Qisya geram mengetap bibir.

Najlah menggeleng. “Aku tak tahu… aku tak tahu. Keadaan gelap. Mereka… mereka bertiga. Tapi… tapi yang cuba apa-apakan aku tu…” Esakannya semakin kuat.

“Kau kena tabah, kena kuat. Cuba ingat perlahan-lahan. Ingat sedikit demi sedikit kejadian tu.”

“Aku… aku tak pasti. Mereka pakai topeng muka.”

Qisya kesal. Peristiwa yang menimpa Najlah cukup menggemparkan. Namun, pelajar-pelajar lelaki yang melakukan perkara terkutuk itu terlepas. Cuma ada satu nama sahaja yang berulang-ulang dalam kepalanya. Namun, tanpa bukti dia tidak mampu berbuat apa-apa.

“Cuba kau jelaskan dengan aku bentuk fizikal budak lelaki tu,” desak Qisya bersungguh-sungguh. Dia mahu pesalahnya dihukum.

Apabila Najlah menerangkan apa yang dia ingat, dia benar-benar yakin telahannya benar. Tapi keadaan tetap tidak menyebelahi mereka.

Najlah terus kecewa dan merana. Pelajarannya merosot. Kerana tidak mampu menanggung aib, mereka sekeluarga terpaksa mengambil keputusan untuk berpindah. Dan sejak itu juga hubungannya dengan Najlah terus terputus.

Dia terus menanti hari demi hari, andai teman baiknya sudi menghantar khabar berita. Tetapi hampa. Mungkin Najlah memang mahu melupakan semua kenangan pahit dirinya hampir dirogol di Sekolah Menengah Tun Johari.

“Kak long! Berangan lagi?”

Qisya tersentak dengan sergahan adiknya. Lamunan kisah lalu terus terbang. Segera api dapur dipadam. Bihun dalam kuali terus dikacau.

“Kak long masih tak jawab soalan angah tadi.”

Nafas panjang terhela. “Entahlah, angah… agaknya sejarah dulu yang membuatkan kami tak sehaluan.”

“Tapi itu kan kisah zaman sekolah. Biasalah kalau nakal sikit-sikit.” Afif terus menyebelahi Zarif.

“Bukan nakal sikit-sikit, angah. Tapi Zarif tu memang macam jakun! Jahat tak ingat!”

Afif ketawa. “Tapi Abang Zarif yang angah kenal sekarang cukup gentleman. Dia lelaki yang baik.”

Qisya makin meluat.

“Percayalah. Angah tahu dia masih sukakan kak long.”

“Habis, kenapa Zaura yang dia pinang?”

Mata Afif terjegil. “Jangan kata kak long cemburu dengan alang.”

“Mengarut!” Qisya menjuih.

“Bukan salah dia pun! Bukan itu yang dia harapkan.”

“Habis tu, kenapa?”

“Kak long akan tahu jugak nanti. Percayalah… dia sesuai untuk kak long. Kenali dia dulu dan dengar kata hati kak long,” ujar Afif sambil menatang dulang air ke ruang tamu. Dia sempat membancuh air kopi ketika kakaknya berangan panjang tadi.

“KAMU dari mana, Zarif?” soal Mak Ton dengan suara dalam. Kecewa, hampa, sedih… semua ada.

“Dari… dari…”

“Dari rumah Mak Nah?”

Zarif mengangguk.

“Selalu sangat kamu ke sana. Dah buat macam rumah sendiri. Sampai mak nak jumpa kamu pun susah sangat.” Mak Ton memalingkan muka ke arah lain. Terasa kecil hati dengan sikap anak bujangnya.

Zarif duduk di sisi emaknya. Tangan wanita itu dicapai lalu dikucup. Mak Ton masih beku.

“Mak marahkan Zarif?”

Diam.

“Maafkan Zarif,” pinta Zarif merendah hati sambil mengucup tangan tua yang sudah mula kelihatan kendur.

“Zaura tu belum jadi bini, kamu dah lupakan mak. Esok-esok bila dah nikah, terus ghaib agaknya.”

“Bukan macam tu, mak. Saya tak pernah sukakan Zaura.” Zarif tertunduk dengan nafas panjang. Ada dilema dalam dada. Mungkin sudah sampai masanya untuk dia membetulkan keadaan.

“Habis tu… Qisya juga yang kamu intai?” Mak Ton memandang anak bujangnya.

“Saya nak putuskan hubungan dengan Zaura. Tak mungkin pernikahan kami boleh diteruskan.”

“Jadi, Qisya dah setuju jadi pengganti?”

Zarif menggeleng.

“Habis?”

“Zarif tak mahu berpura-pura, sedangkan bukan Zaura yang Zarif harapkan untuk jadi isteri.”

Mak Ton mengeluh.

Zarif meraup mukanya. Dia tahu masalah akan jadi lebih besar kalau segala-galanya diteruskan juga.

“Memang mak yang salah. Tapi mak terpaksa…”

“Itu Zarif tahu. Tapi ini bukan jalan penyelesaiannya. Banyak hati yang pasti akan terluka. Zarif tak boleh teruskan semua ni lagi.”

“Terpulanglah, Zarif. Ini keputusan kamu. Buatlah mana yang kamu rasakan baik,” tutur Mak Ton perlahan.

Zarif sudah nekad. Esok juga dia akan beritahu apa yang sebenarnya berlaku pada keluarga Qisya. Walau apa sahaja kesannya yang bakal diterima, dia sudah cukup bersedia.

Bab 8 ~ Maafkan saya atas segalanya

“MAAFKAN saya atas segalanya. Dan maaf juga sebab saya datang tanpa mengikut adat,” pinta Zarif sambil menunduk. Dia menelan liur dengan dada disambar debaran kencang.

Sejak menjejakkan kaki dan duduk di rumah Mak Nah, doanya tidak putus-putus. Semoga dirinya tidak dibenci selepas ini. Jangan sampai kena halau dengan penyapu atau kena kejar dengan parang.

“Apa yang kamu buat ni, Zarif? Kenapa sampai begini?” soal Puan Jannah. Sudah diduga bahawa anak muda itu tidak pernah menaruh hati pada Zaura. Apatah lagi mahu memperisterikan gadis itu.

“Maafkan saya…” Hanya itu saja yang mampu terungkap di bibir Zarif. Rasa bersalah kian menebal.

“Menyusahkan!” tempelak Qisya geram.

Zarif sedar. Dia telah melakukan kesilapan. Walaupun segala yang berlaku bukan rancangannya, tetapi dia seharusnya tidak terikut dengan permainan yang Zaura dan emaknya rancangkan.

“Zaura yang jadi mangsa,” keluh Puan Jannah kesal. “Bimbang jadi buah mulut orang kampung pula nanti. Keluarga Zarif datang pinang adik, tapi nak kahwin dengan kakak.”

“Zaura sendiri dah tahu.”

Semua mata memandang tepat ke wajah anak muda itu.

“Dia memang dah tahu tentang semua ni sejak awal lagi. Malah dia juga yang…” Pandangan Zarif menuntas ke arah gadis itu yang sedang tertunduk kaku. Berat untuk meluahkan.

“Apa sebenarnya semua ni?” Suara Qisya garang.

Afif dan Taufik hanya memandang Zarif dengan rasa belas. Mereka berdua sebenarnya sudah tahu kebenarannya awal-awal lagi. Cuma hal ini terpaksa dirahsiakan atas permintaan lelaki itu sendiri.

Puan Jannah pula terdiam. Tidak tahu apa yang perlu dikatakan. Kehadiran Zarif hari ini amat mengejutkan.

“Ini semua rancangan Zaura,” luah Zarif perlahan.

“Apa?!” Suara Puan Jannah melantun keras.

Qisya merenung tajam ke arah Zaura yang masih tidak berani mengangkat muka sejak tadi.

Perlahan-lahan Zarif menerangkan apa yang sebenarnya berlaku. Tidak ada yang tertinggal. Bagaimana Zaura membuat usul itu kepada emaknya. Bagaimana kedua-dua mereka merancang semua ini tanpa pengetahuannya sendiri.

“Mak tak sangka perangai kamu begini!” jerkah Puan Jannah geram pada anak daranya. Mahu sahaja tubuh itu dibalun sepuas hati. Biar Zaura sedar tindakannya sudah keterlaluan.

“Bukan… bukan niat alang nak… nak susahkan sesiapa,” ujar gadis itu tersekat-sekat. Dia kecut perut. Dalam hati, berbakul-bakul sumpah seranah dihamburkan kepada Zarif.

Sakit hatinya kerana lelaki itu tidak berbincang dahulu dengannya untuk membongkar rancangan mereka. Malah, dia sendiri sudah berkira-kira mahu menambat hati Zarif.

Siapa sangka dia boleh terjatuh cinta pada lelaki itu? Disebabkan itu dia rela untuk meneruskan rancangan pernikahan mereka.

Dah tahu kak long tak mahu, buat apa nak paksa! Apa salahnya jika aku yang jadi galang ganti? Apa kurangnya aku? Hatinya menggumam dengan rasa geram. Namun, disabarkan rasa hati.

“Jadi, apa niat kamu?” jerkah Puan Jannah.

“Err… alang… alang cuma nak tolong satukan kak long dan Abang Zarif,” kata Zaura dengan bibir terketar-ketar.

“Alang… kak long kecewa dengan alang. Hal nikah kahwin ni bukannya boleh dibuat main,” marah Qisya dengan nafas menderu keras. Bibirnya diketap kuat. Kalau ikutkan rasa hati, mahu sahaja dikerjakan Zaura sampai lembik.

“Tapi alang tak setuju dengan keputusan Abang Zarif sekarang!” Lancar ayat itu terlucut dari bibir Zaura.

Semua mata sedang memaku pandang ke arah Zaura. Terkejut dengan suaranya yang lantang.

Janganlah sampai alang pula yang simpan perasaan pada Abang Zarif. Afif berdoa dalam hati.

“Kenapa tak biarkan saja majlis terus berlangsung?” soal Zaura tidak teragak-agak.

Kali ini, semua mata menuntas ke wajah Zarif pula.

“Apa kita nak buat sekarang?” soal Puan Jannah dengan suara serak. Sebak rasa dadanya.

“Kalau boleh, saya tetap nak teruskan majlis.” Suara Zarif lirih.

Dahi Puan Jannah berkerut. Benar-benar keliru dengan kehendak anak muda itu. Katanya tidak mahu meneruskan hubungan, tapi tetap mahu majlis yang tinggal tidak sampai dua bulan sahaja lagi berlangsung juga.

“Kau jangan main-main boleh tak?” Qisya sudah naik berang dengan permainan Zarif.

“Mah Nah… kalau boleh saya nak teruskan majlis. Tapi dengan Qisya,” tutur Zarif lambat-lambat sambil menghantar pandangan penuh mengharap kepada wanita itu. Kemudian matanya memandang Qisya yang nampak benar-benar terkejut dan tergamam.

“Zarif!” Suara Qisya melantun tinggi. “Gila! Ini kerja gila namanya. Jangan mengarut!”

Zaura pula memandang Zarif dengan hati membara. Lain yang diharapkan, lain pula yang terjadi.

“Sejak mula lagi memang itu hasrat saya. Mahu sunting Qisya sebagai isteri. Tapi entah di mana silapnya…” Kata-kata Zarif terhenti dengan keluhan panjang.

Pandangannya menyorot ke wajah gadis itu. Tapi sayang, sinar daripada mata gadis itu yang diharapkan sejak sekian lama tidak pernah hadir. Pipinya terasa panas. Malu! Hanya pipinya yang tersorong-sorong, sedangkan orang di sana tidak pernah mempunyai perasaan yang sama. Bahkan, dirinya terasa seperti seorang pengemis.

Zaura menelan liur. Walaupun ini rancangannya, tapi entah kenapa dia terasa dimalukan. Kenapa lelaki itu tidak mahu beri peluang kepadanya? Dia juga layak untuk membahagiakan Abang Zarif!

“Kak long tak boleh terima, mak!” Qisya menggeleng.

Puan Jannah mengeluh. Berat.

Zarif terkilan. Awal-awal lagi permintaannya ditolak. “Tentang hal pertunangan tu, saya sedia beri pampasan kepada Zaura. Memang silap saya. Perkara ni tak seharusnya terjadi…”

“Pampasan apa kalau ni memang rancangan dia!” celah Puan Jannah sebelum Zarif sempat menghabiskan ayat.

“Tapi saya ikhlas. Semua barang hantaran dari pihak saya tak perlu dipulangkan. Simpanlah sebagai tanda maaf.”

Zaura bangun tiba-tiba. Dia berlalu ke bilik sambil menghentak kaki menunjukkan protes. Dia benar-benar patah hati. Kasih baru hendak berputik, sudah kena cantas!

“SEJAK mereka hantar pinangan, dulu lagi mak dah rasa pelik. Kenapa rombongan datang meminang Zaura, bukannya Qisya?” tutur Puan Jannah sambil melihat Qisya mengutip cawan dan piring yang dihidangkan tadi.

Qisya terhenti. Dia duduk di sebelah ibunya.

“Apa sebenarnya hasrat mereka? Nak malukan kita? Tapi lebih sakit hati bila Zaura sendiri yang pandai buat rancangan di belakang kita,” luah Puan Jannah dengan perasaan sebak dan kesal.

“Pening kepala kak long, mak. Kenapa jadi begini?”

“Entahlah… benda dah jadi. Kak long pulak macam mana? Setuju tak dengan rancangan Zarif untuk teruskan majlis?”

Gadis itu terdiam. Langsung tidak menyangka Zarif sanggup berterus terang berdepan dengan mak dengan begitu berani sekali.

“Dia memang sukakan kak long.”

Qisya tertunduk. Terasa amat tertekan dengan keadaan yang terpaksa dilalui. Hakikatnya, lelaki itu tidak pernah mendapat mana-mana ruang di hatinya. Dan tak mungkin!

“Mak tahu Zarif ikhlas sayangkan kak long. Baik budaknya, kak long. Tapi sayang…”

“Maafkan kak long…”

“Siapa pun pilihan kak long, mak tak membantah. Yang penting kak long bahagia nanti.”

Qisya memejam mata dengan fikiran bercelaru.

“Kak long tetap tunggu Akim?”

Qisya mengangguk. “Tapi bagaimana dengan majlis tu? Apa kita perlu buat, mak?”

“Kalau kak long tak mahu, tiada siapa yang paksa. Macam mana nak teruskan majlis kalau calon isteri tak ada?”

“Alang?”

“Kenapa? Malu? Biar dia tanggung sendiri! Dia sendiri yang pandai cari penyakit. Sengaja nak cari bala!”

“Puas hati kak long sekarang?!” herdik Zaura yang keluar dari bilik tiba-tiba. Mukanya merah dengan mata membulat. Dia bercekak pinggang, menghantar pandangan benci dan sakit hati.

Kenapa hidup kak long selalu sempurna? Semua orang sayangkan kak long. Malah, arwah abah selalu puji kak long.

“Jangan kurang ajar, alang! Jangan salahkan orang lain kalau alang sendiri yang salah!” Suara Puan Jannah tegas.

Zaura berlari keluar rumah dengan perasaan tergores. Kenapa semua orang selalu sebelahkan kak long?

Puan Jannah tersandar di sofa sambil memicit dahi.

“Mak…”

“Runsing kepala mak ni, kak long. Kenapalah alang boleh jadi begitu?” Panjang desahan nafas Puan Jannah.

“Mungkin salah kak long juga,” rintih Qisya perlahan. Dari dulu dia dengan Zaura memang tidak pernah ada persefahaman. Dan dia tidak pernah cuba untuk memahami hati seorang adik yang sedang meniti alam remaja.

Bab 9 ~ Awak masih marahkan saya?

PUAS Qisya menilik jam di pergelangan. Hampir selang lima minit. Tetapi bayangan Afif tetap tidak kelihatan. Mendesah! Mengeluh! Namun, orang yang ditunggu tetap tidak kunjung tiba.

“Ke mana budak Afif ni? Bertuah! Dah dekat pukul 7.00 malam dah ni!” omel Qisya geram. Dia tidak senang duduk. Mundar-mandir dia di koridor depan pejabatnya. Hanya dia yang ternanti di situ seorang diri.

Langit kian gelap. Cahaja senja akan berlabuh tidak lama lagi. Kebimbangannya tiada penghujung. Dia bimbangkan Afif juga. Takut ada sesuatu yang buruk berlaku.

Kesal juga kerana telefon buruknya habis bateri. Mungkin Afif ada menghubunginya atau paling tidak menghantar SMS untuk memberitahu kenapa dia lambat datang menjemputnya pulang dari pejabat hari ini.

“Qisya! Dah lama awak tunggu? Maaf… lambat,” beritahu Zarif yang datang tidak bersalam. Terus menerjah.

Qisya tergamam. Buntang matanya. Kelu. Bisu. Macam tidak percaya. Kenapa wajah kacak Zarif pula yang tiba-tiba terjengol di depannya? Hari demi hari wajah lelaki itu sahaja yang muncul di mana-mana.

“Awak? Kenapa bukan Afif?” gumamnya seolah berbisik.

“Jom ikut saya.” Zarif mahu menarik tangan Qisya, namun sempat gadis itu mengelak. Tubuhnya masih tegak. Tidak berganjak.

Suka-suka hati nak tarik tangan orang. Nak kena ni!

“Ikut saya…”

“Saya tak akan ikut awak balik. Mentang-menatang ada kereta besar… kereta mewah, ingat senang-senang boleh hantar saya balik?” herdik Qisya, menunjukkan geram.

Kali ini Zarif pula yang tergamam.

“Saya tak heranlah dengan kereta besar awak tu,” hambur Qisya lagi. Penuh kesungguhan. Siap bercekak pinggang. Matanya yang bulat semakin besar seperti burung hantu.

“Afif tak boleh datang.”

Qisya mengerut dahi. Semakin musykil.

“Taufik kemalangan. Jatuh motosikal. Adik awak ada di hospital sekarang. Afif dengan Mak Nah pun dah ke sana. Jom saya hantarkan awak,” beritahu Zarif lancar.

Qisya terkesima. Jantungnya sudah mula berdegup kencang. Berita yang disampaikan Zarif membuatkan dunianya terasa berlegar lambat sekali.

“Qisya…” Zarif menggawang-gawangkan tangan di depan muka gadis itu. Kemudian dia memetik jari. Masih juga tiada reaksi.

Lutut Qisya terasa menggigil. Bagaimana keadaan Taufik? Parah? Ya ALLAH… lindungilah adikku, serunya dalam hati. Kolam matanya terasa hangat. Tubuhnya terasa longlai tiba-tiba. Mujur Zarif sempat memautnya.

“Qisya!” Zarif kalut.

Tubuh Qisya menggeletar. Dadanya disambar debar. Tidak sedar dia terus berpaut di tubuh sasa lelaki itu.

“Saya hantarkan.”

Qisya sudah tidak mampu berfikir lagi. Fikirannya kosong. Bila lelaki itu menariknya masuk ke dalam kereta, dia hanya menurut.

Sepanjang perjalanan mereka berdua hanya menyepi. Zarif membiarkan gadis di sebelahnya melayan perasaan. Masih terkejut barangkali sampai tiada sepatah perkataan pun yang kedengaran dari bibirnya.

Ketika sampai di hospital, Qisya hanya mengekori langkah Zarif. Sebaik tiba di wad, dia kian diasak rasa cemas. Kala melihat kelibat Afif dan mak, terasa air matanya akan gugur bila-bila masa sahaja. Dilihat sekujur tubuh adiknya kaku di atas katil.

“Mak… Taufik… Taufik…” Suaranya bagaikan tidak mahu keluar. Tersekat di kerongkong.

“Taufik cuma patah kakilah, kak long. Bukannya parah. Hidup lagi budak tu,” beritahu Afif selamba.

Zarif tersengih. Dia bersalaman dengan Afif, kemudian menghulur tangan kepada bakal mak mertuanya.

“Kamu ni, angah…” Puan Jannah menggeleng.

Qisya bagaikan baru tersedar daripada mimpi. Dia memandang ke arah Taufik lagi yang nampak sedang nyenyak tidur.

“Dia tengah tidur. Lepas kena cucuk tadi terus tak ingat dunia. Entah bila nak sedar diri.”

“Angah… kalau ya pun, cuba guna bahasa elok sikit.” Suara Puan Jannah keras sedikit.

Qisya menghela nafas panjang. Air mata yang bergenang tidak jadi menitis. Hatinya mengucap syukur. Ingatkan parah tadi. Bibirnya sudah mampu mengukir senyuman.

“Angah cuba sampaikan benda yang betullah, mak.” Tanpa perlu disoal, ringan sahaja Afif menceritakan apa yang berlaku. Bagaimana Zarif menjadi penyelamat dan membawa Taufik ke hospital.

“Macam mana boleh jatuh?”

“Mengelak lembu. Hilang kawalan, terus langgar pokok,” cerita Zarif dengan ringkas.

Berkali-kali Qisya mengucap syukur dalam hati. Mujur Taufik hanya cedera ringan.

“Ini baju Taufik yang Mak Nah kirim dengan Zaura tadi,” beritahu Zarif sambil menghulurkan beg sandang yang dibawanya.

“Terima kasih,” ucap Puan Jannah tenang. Sudah terpaut hati dengan sikap anak muda itu.

“Saya nak ke surau dulu,” beritahu Zarif. “Nanti saya singgah beli makanan sekali. Mak Nah nak kirim apa-apa?”

“Tak apalah, Zarif. Nanti menyusahkan kamu saja.”

“Tak susah, Mak Nah. Saya tak harapkan apa-apa,” beritahu Zarif sambil menjeling ke arah Qisya sekilas.

Setelah Zarif berlalu, Qisya duduk di sisi katil. Dia sedar Zarif berkecil hati dengan kata-katanya tadi. Tapi dia tidak sengaja!

“Kenapa kak long off telefon?”

“Habis bateri…” jawab Qisya terkulat-kulat. Sedar kesalahannya.

Hampir setengah jam kemudian, Zarif datang semula dengan bungkusan plastik di tangan. Diserahkan kepada Puan Jannah.

“Apa ni, Zarif?”

“Makan malam.”

“Alhamdulillah…” ucap Puan Jannah. “Kamu dah makan, Zarif? Kalau belum, kita makan sekali. Banyak ni ha…”

“Belum. Tapi balik nantilah saya makan. Sekarang terasa belum lapar lagi.”

“Terima kasih banyak-banyak. Kami pergi solat dulu kalau macam tu. Angah ikut sekali?” soal Puan Jannah.

Afif mengangguk.

“Kak long?”

Qisya menggeleng. ‘Cuti!’ Malu juga dia apabila Puan Jannah menanyakan soalan begitu di depan Zarif. Mukanya sedikit merona. Apatah lagi apabila lirikan mata lelaki itu singgah kepadanya.

Bila ditinggalkan berdua, mereka terus menyepi. Qisya memandang setiap penjuru bilik kelas pertama itu dengan rasa terhutang budi.

Tentu Zarif yang menempatkan Taufik di situ. Kalau nak harapkan dia, memang tak mampu.

Zarif mencapai surat khabar dan melangkah ke sofa.

Qisya yang duduk di sisi katil sekadar memandang dengan ekor mata. Hatinya sedikit terusik. Ada rasa kesal dan bersalah. Salah diri sendiri kerana membuat kesimpulan tanpa usul periksa.

Beberapa minit keadaan terus dingin. Setelah Qisya menimbang beberapa perkara dan membuang rasa ego yang beraja, perlahan-lahan dia menapak ke arah Zarif, lalu duduk di sofa yang sama. Dia di hujung sebelah kiri. Lelaki itu pula di hujung sebelah kanan. Anak muda itu nampak ralit dengan bacaannya.

“Awak masih marahkan saya?”

Kaku.

“Maaf… memang salah saya.”

Zarif terus menyepi. Mahu menduga sejauh mana Qisya mahu mengakui kesilapannya. Siapa tidak terasa hati dituduh secara melulu begitu. Tetapi bukannya memberi kesan besar sangat sampai dia perlu berdendam atau marah.

“Saya tak suka terhutang budi sebenarnya,” ujar Qisya perlahan. Tunduk menekur lantai.

“Jadi, awak ingat saya cuba tabur budi?” Sinis suara Zarif.

Qisya tersentap mendengarnya. Marah nampak? Aduh! Susah, susah… Buruklah lelaki merajuk. “Awak merajuk sebab saya cakap macam tu tadi?” soalnya dengan suara lembut. Adatlah bila memujuk.

Zarif menjongket bahu. Sengaja jual mahal.

“Saya minta maaf…” Suara Qisya antara dengar dan tidak. Berat nak ucap kata maaf. Tapi bila mengenangkan kebaikan yang lelaki itu sudah buat, dia terpaksa mengalah.

Diam. Kata maaf gadis itu bagai tidak memberi kesan di hati Zarif. Sedangkan dia cukup gembira sebenarnya.

“Saya minta maaf… dan saya mahu berterima kasih dengan awak.” Dikuatkan sedikit suaranya kali ini. Manalah tahu, kalau-kalau lelaki itu memang ada masalah pendengaran.

Zarif menoleh. Ditayang wajah tegang. Mata mereka saling bertaut. “Apa maksud awak tak mahu terhutang budi dengan saya? Apa sebenarnya yang awak bimbangkan sangat?”

“Saya… saya…” Qisya hilang kata. Kelu. Digigit bibirnya.

“Saya tak akan minta awak balas budi. Sebab saya pun tak minta bertembung dengan Taufik yang sedang tergolek kesakitan tengah jalan.

Bukan manusia namanya kalau saya tinggalkan dia dalam keadaan begitu, atau buat-buat tak nampak semata-mata untuk elakkan awak rasa terhutang budi,” hambur Zarif panjang lebar. Ada nada tegang dalam suaranya.

Sorry…” Nada Qisya bertukar lebih lembut. Sebak apabila mendengar kata-kata Zarif sebegitu. Mungkin itu juga yang lelaki itu rasakan tadi.

“Saya tahu saya buat silap kerana bertunang dengan Zaura,” rintih Zarif kesal. “Tapi jangan hina kebaikan saya.”

“Zarif…” Qisya memanggil perlahan. Lebih pada memujuk. Tidak mahu kesilapannya bertambah banyak.

Akhbar di tangan diangkat semula. Bagai sedang makan hati saja tingkah Zarif. Tambahan pula dengan wajah kelat dan tegang yang ditunjukkan.

“Saya benci bila awak cuba buat baik. Awak sendiri tahu sejarah kita,” luah Qisya jujur.

Zarif diam seketika. “Sejarah kita yang membuatkan awak membenci saya? Cuma sebab saya budak nakal di sekolah dulu yang tak pernah terlepas dari buku catatan pengawas awak. Begitu?” sindirnya.

Tersentap lagi Qisya. Air liur yang ditelan terasa pijar. Bukan itu sebab utama kenapa dia membenci Zarif. Spontan, nama Najlah kembali berlegar di fikiran.

Cuba diusir prasangka lama. Tapi kerap kali juga ia datang menghantui dirinya. Bagaimana kalau lelaki yang disangka Zarif itu sebenarnya orang lain?

“Kita bukan remaja lagi, Qisya. Masing-masing dah berubah. Kita dah dewasa.”

“Tapi kenapa saya yang awak cuba jadikan teman sejiwa?”

Zarif memandang wajah gadis itu lama. Menghantar rasa hati yang jujur dan ikhlas. Mahu Qisya tahu luahan hatinya lahir daripada perasaan yang tulus. Dia kasihkan Qisya sepenuh hati.

“Saya tak punya apa-apa. Tiada yang menarik dengan seorang insan bernama Qisya Ammara. Malah, hati saya juga sudah diserahkan pada orang lain. Dah menjadi milik lelaki yang saya cintai.”

“Tapi itu tak bererti hati awak tak boleh berubah. Berikan saya kesempatan dan peluang untuk buktikan.”

“Jangan buang masa awak,” tegas Qisya. Dia benar-benar pasti tiada yang boleh menggugat rasa cinta di hatinya.

“Saya akan sentiasa menunggu sampai hati awak terbuka untuk seorang insan bernama Zarif Arfan. Bukan harta atau kemewahan yang saya tawarkan untuk buat awak terhutang budi…”

“Zarif…” potong Qisya.

“Tapi saya punya keikhlasan dan kasih sayang untuk mencintai awak sepenuh hati. Tak mungkin ada lelaki lain yang mampu mencintai awak sebaik saya.

Percayalah,” luah Zarif penuh perasaan seakan memateri janji.

Qisya terkedu. Dia hilang kata. Dia tidak sanggup mengambil risiko. Baginya, cinta tidak boleh ditukar ganti dengan mudah.

“Saya bukan Zarif yang dulu. Kesilapan lalu telah banyak mengajar saya menjadi manusia yang lebih baik.”

Kesilapan lalu?! Dada Qisya dihambat debar. Kata-kata pemuda itu bagai mengumpil sebahagian daripada teka-teki yang menjadi iguannya sekian lama. Mungkinkah dia?

Bab 10 ~ Lepas ni, aku ada kerja untuk kau

MAK TON hilang selera. Nasi yang disuap ke mulut terasa hambar dan tawar. Lauk-pauk yang penuh di meja langsung tidak membuka seleranya. Hatinya sedang diulit hiba. Kecil hati dan rasa terpinggir.

Fazura pula sudah pandai bergayut di telefon sekarang. Asyik terperap di dalam bilik berjam-jam lamanya. Itulah budak-budak muda zaman sekarang. Bila sudah asyik melayan perasan, semua benda diabaikan. Ada teknologi pun kadang-kala menyusahkan juga. Gerutu hatinya geram.

Jarinya menguis nasi di pinggan. Terasa sunyi. Anak yang dikasihi sepenuh hati pulang juga ke Malaysia. Tapi Zarif cuma sibuk dengan keluarga Jannah. Mak mana yang tidak berjauh hati? Anak yang ditatang dengan segala-galanya lebih mementingkan insan lain.

Bagaimana apabila Zarif sudah berumah tangga kelak? Barangkali dirinya akan dibuang terus. Hanya isteri yang Zarif ulit ke hulu ke hilir. Masakan perempuan tua sepertinya akan dikenang lagi?

Dia mendesah. Kesal dan kecewa. Sanggupkah dia mem-biarkan kasih sayang anaknya beralih kepada keluarga lain?

Jannah! Nama itu sejak dulu lagi amat menyakitkan hatinya. Kerana Jannah dia ditinggalkan Jauhari. Kerana Jannah dia putus tunang. Dan kini mampukah dia berdiam diri apabila keturunan Jannah terus menyakiti hatinya?

Disangkakan sikap obses Zarif terhadap Qisya hanya sementara. Tapi ternyata, pasti sukar anak terunanya memadamkan nama gadis itu. Cinta! Itulah penangannya. Dia juga pernah muda. Sanggup melakukan apa sahaja kerana cinta.

“Mak Ton…”

Tubuhnya tersentak. “Engkau, Abu…” Mak Ton mengurut dada sambil menarik nafas dalam berkali-kali.

Anak muda itu tersengih-sengih.

“Tak tahu bagi salam? Datang macam penyangak kamu ni. Dah banyak kali Mak Ton pesan. Tapi masih jugak tak berubah.”

“Ampun… ampun, Mak Ton. Lupa!” Abu menggaru kepala botaknya yang berkilat. Bujang terlajak yang berumur awal 30-an merangkap pemandunya itu tersengih-sengih menampakkan gigi jongangnya yang sudah berkarat kerana asyik sangat dengan rokok gulung tembakau.

Sudah lama dia berkhidmat dengan penuh setia pada wanita itu. Malah, dia amat terhutang budi. Kalau bukan Mak Ton yang berikan dia kerja, agaknya dia sudah mengemis di tepi jalan. Hanya mampu kutip makanan dalam tong sampah untuk mengisi perut.

Sejak pulih daripada ketagihan hampir sepuluh tahun lalu, semua penduduk kampung memandang jijik dan memulaukan dirinya. Hanya Mak Ton yang sanggup terima dia bekerja.

“Kau dah siap cuci kereta?”

“Sudah, Mak Ton. Saya cuci sampai berkilat. Betul, Mak Ton…” jawabnya dengan rasa bangga.

“Baguslah kalau begitu. Tak sia-sia aku bayar gaji. Kalau kau rajin buat kerja, hujung bulan ni aku bagi bonus.”

Semakin lebar Abu tersengih.

“Dah makan?”

Lekas-lekas Abu menggeleng. Terliur melihat hidangan enak di meja. Aromanya membuatkan perut Abu semakin kuat bergendang.

“Duduk. Makan kenyang-kenyang. Lepas ni, aku ada kerja untuk kau,” beritahu Mak Ton tersenyum manis. Api dendam kian menular. Rancangannya pasti berjaya. Dia mahu melihat wanita itu merana!