Bab 11 ~ Kita serahkan saja pada ALLAH

“YA ALLAH…” jerit Qisya apabila ternampak asap berkepul-kepul. Bahagian belakang rumah sudah mula marak. Nafasnya menderu keras. Ketakutan sedang mencengkam segenap urat dan sendi.Tubuhnya bagai di awang-awangan. Tidak percaya apa yang sedang dilihat ketika ini.

“Mak!“ Qisya menjerit cemas. Ketika itu, dia terasa mahu meraung dan menangis apabila teringat mak ditinggalkan seorang diri di rumah.

Zarif memberhentikan kereta dengan mengejut. Dia melompat turun dengan jantung berdegup kencang.

Qisya juga bergegas turun.

Tanpa berfikir panjang Zarif terus merempuh masuk ke dalam rumah. Hanya keselamatan Mak Nah yang bermain di fikirannya.

Api kelihatan semakin marak di bahagian belakang rumah. Mula merebak dengan cepat.

Qisya menggigil. Dia terduduk. “Mak…” laungnya dengan linangan air mata. Dalam hati berdoa. Merintih agar ibunya dapat diselamatkan daripada tragedi itu.

Tidak lama kemudian Zarif keluar dengan mengendong Puan Jannah. Lelaki itu terbatuk keras.

“Mak…” Qisya meluru. Kepala ibunya dipangku. Tubuh ibunya kelihatan tidak bermaya.

Puan Jannah terbatuk-batuk kerana banyak tertelan asap. Dadanya terasa ketat dan terhimpit.

Mak Cik Raudah dan Zalina, jiran sebelah berlari menghampiri. Masing-masing kalut sebaik terdengar jeritan. Apabila menjenguk keluar, mereka nampak asap tebal dan api yang mula merebak.

“Macam mana boleh jadi begini?” soal Mak Cik Raudah kaget.

Qisya dilanda kebimbangan.

Beberapa orang kampung lain mula datang. Mahu memberi bantuan tetapi tidak tahu apa yang harus dilakukan. Masing-masing takut dan ngeri melihat api yang kelihatan cukup ganas.

“Kenapa tak tolong padamkan api?” soal Pak Majid yang tiba dalam keadaan termengah-mengah bersama beberapa orang kampung. Sebaik sahaja keluar dari surau, mereka melihat asap tebal dan api sudah menjulang tinggi. Terus mereka berlari datang ke situ.

“Tak sempat nak buat apa-apa lagi, pak cik,” ujar Zarif lemah sambil terbatuk-batuk. Dia hanya mampu melihat rumah itu dijilat api.

“Rumah kita, kak long…” rintih Puan Jannah dalam linangan air mata. Tiada apa lagi yang dapat diselamatkan. Luluh hatinya melihatkan api yang begitu marak dan menjulang tinggi. Melenyapkan harta miliknya yang cukup berharga. Kenangan yang tidak ternilai. Hatinya terasa rentung sama. Mahligai yang meninggalkan memori bahagia bersama arwah suami bakal menjadi debu.

“Yang penting mak selamat.”

“Tapi rumah kita…” tangis Puan Jannah tersedu-sedan. Nafasnya terasa putus-putus.

Qisya tidak dapat membendung rasa sedih melihat satu-satunya harta peninggalan arwah abah musnah dalam sekelip mata. Di tempat mereka mahu berteduh nanti?

“Kamu tak apa-apa, Zarif?” soal Pak Majid kala melihat wajah anak muda itu berkerut bagai sedang menahan sakit.

“Eh, lengan kamu melecur tu!” Mak Cik Raudah membelek lengan anak muda itu yang sudah kemerah-merahan.

Mata Qisya juga merayap ke lengan lelaki itu. Namun, tiada kalimah yang terluah dari bibirnya.

“Saya tak apa-apa, mak cik… Pak Majid,” beritahu Zarif sambil menahan rasa pedih dan pijar. Ketika meluru masuk tadi, ada serpihan kayu yang jatuh dari bumbung. Dia tahan dengan lengan. Tindakannya spontan.

“Eh! Teruk juga lecur tu. Jangan dibiarkan, Zarif… nanti melarat,” tambah Pak Majid.

“Yalah…”

“Elok pergi ke hospital sekarang. Jannah ni nampaknya perlukan rawatan,” gesa Mak Cik Raudah pula.

“Saya pun bimbang juga tengok keadaan Mak Nah. Kalau begitu, tolong saya angkat Mak Nah ke kereta.”

“Eloklah tu, Zarif. Lekas…” Pak Majid dan beberapa orang kampung segera membantu.

“Jangan lupa buat laporan polis sekali,” pesan Pak Majid lagi.

 

MUKA Afif ketat dan tegang. Sebaik sahaja pulang dengan Zarif dari tapak rumahnya yang sudah menjadi abu bersama beberapa anggota polis, dia tidak dapat membuang rasa geram dan sakit hati.

“Kalau angah tahu siapa yang sanggup buat khianat pada kita, teruk angah kerjakan.”

“Sabar, Afif… ini semua dugaan tuhan,” pujuk Zarif. Bahu anak muda itu ditepuk lembut.

“Betul polis jumpa tin minyak tanah?” soal Pak Long Mahat yang tersandar lemah di kerusi rotannya.

“Memang dah sah, pak long. Kebakaran tu memang disengajakan. Perbuatan dengki. Nasih baik mak selamat.” Rahang Afif bergerak-gerak menahan geram.

Qisya resah. Masih tidak percaya dengan apa yang berlaku. Kenapa ada orang yang dengki pada keluarganya? Bukannya ada harta untuk dibanggakan. Malah, setahunya mereka tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.

“Biarlah polis yang selesaikan. Kita serahkan saja pada ALLAH. Kalau orang yang bersalah terlepas sekalipun di dunia ni, dia tetap tak akan terlepas di sana,” ujar mak long dengan rasa sebak.

Dia sedih apabila teringatkan Puan Jannah yang terpaksa dirawat di hospital. Sudahlah Taufik baru sahaja menjalani pembedahan kaki. Kini, mereka diduga lagi. Ujian datang bertimpa-timpa.

Hati Qisya dihurung pilu. Rasa sebak ditelan sendiri. Tangisan yang mahu melimpah ditahan sekuat hati. Dia mahu jadi kuat di depan Afif, bukan gadis yang lekas menyerah kalah. Apalah malang hidupnya. Sudahlah tidak berharta. Dan musibah ini menyulitkan lagi kehidupan mereka. Hilang tempat berteduh!

“Tinggallah di rumah kami, Qisya… Afif…” pelawa mak long bagai mengerti kerisauan hati gadis itu.

One comment on “Bab 11 ~ Kita serahkan saja pada ALLAH

  1. tina says:

    sian ngan famili Qisya…ni mesti Abu yang bakar rumah diorang atas arahan Mak Ton…

Leave a comment